Tuesday, December 22, 2009

Tahun Baru Hijrah_bahan tatapan bagi yang boleh berbahasa arab


Bersempena dengan tahun baru hijrah 1431 ini saya mengambil kesempatan di sini mengajak mereka yang boleh berbahasa arab membaca artikel-artikel yang berharga ini guna mengambil pengajaran demi melangkah ke hari depan yang lebih gemilang...

http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=57890&SecID=363

Saturday, December 5, 2009

BAGAIMANA MENANAMKAN HIMMAH YANG TINGGI/HIMMAH ‘ALIYAH



Oleh : Sheikh Hasan Al-Bugisy
(Terjemahan)

Rasulullah s.a.w bersabda : ”Nama yang tepat bagi seorang muslim adalah Hammam dan Harist dan nama yang paling Allah cintai adalah Abdullah dan Abdurrahman ".
Al Hammam adalah niat yang kuat, sedangkan “Al Harits” adalah sosok dari hasil Himmah atau hammam iaitu bekerja untuk mendapatkan obsesi/keinginan tersebut. Jadi setiap manusia punya keinginan, namun tidak semua manusia memiliki keinginan “Himmah yang kuat".


A.DEFINISI HIMMAH

Himmah tidak boleh dilihat secara dhohir kerana Himmah adalah masalah yang lahir dari hati dan akal fikiran manusia, bukan masalah amal. Dari segi bahasa Himmah bererti “An Niyyah“ (niat), “Iradah” (kehendak), “Al ‘azimah” (tekad). Dalam makna ini terdapat tiga kata yang berbeza iaitu berupa niat yang sifatnya biasa, kemudian iradah atau kehendak yang kuat lalu dilanjutkan dengan tekad untuk melaksanakan kehendak tersebut.

Allah SWT berfirman : “ Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda dari tuhannya ( QS. Yusuf : 24)

Dalam ayat ini boleh diertikan bahawa belum ada tindakan atau amal, tapi masih berupa Himmah, niat. Dalam ayat tersebut terdapat kata “wahamma biha” yang ertinya keinginan terhadapnya (wanita tersebut). Bukankah Nabi Yusuf a.s adalah seorang nabi, bagaimana mungkin dia memiliki Himmah kepada wanita tersebut ? Dalam kaedah bahasa Arab ada istilah “takdim wa takhir” (kalimat didahulukan dan diakhirkan). Jadi menurut kaedah ini bererti seandainya Nabi Yusuf a.s tidak mendapatkan petunjuk dari Allah SWT, pasti Nabi Yusuf a.s. juga berkeinginan terhadap wanita tersebut. Maka pada hakikatnya bahawa Nabi Yusuf a.s. tidak berkeinginan terhadap wanita tersebut kerana sebelumnya beliau telah mendapatkan petunjuk dari Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesunggunya Allah telah menetapkan kebaikan-kebaiakan dan kejahatan-kejahatan kemudian menjelaskannya, maka barang siapa yang bermaksud berbuat kebaikan lalu belum sempat mengerjakannya, Allah mencatat di sisiNya sebagai satu kebaikan sempurna. Dan jika dia bermaksud berbuat kebaikan lalu dia mengerjakannya, Allah mencatatnya sepuluh kebaikan dan akan dilipat gandakan sampai tujuh ratus lebih, hingga dilipatgandakan yang banyak sekali. Dan jika dia bermaksud berbuat kejahatan, tetapi dia tidak mengerjakannya, Allah mencatat baginya disisiNya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika bermaksud berbuat kejahatan dan melakukannya, maka Allah mencatat baginya satu kejahatan”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa Himmah ada 2 iaitu :
1. Himmatul ‘Aliyah (Obsesi yang kuat)
2. Himmatud Daniyah (Obsesi yang rendah)

Sesungguhnya Allah SWT mencintai perkara-perkara yang mulia dan membenci perkara-perkara yang rendah atau hina. Allah SWT mencintai perkara yang tinggi / mulia baik dalam amal, agama, da’wah di jalan Allah SWT.. Allah SWT membenci perkara-perkara rendah, tidak bernilai dan hina, baik berupa perkara-perkara yang haram maupun yang harus.

B.‘ULUWWUL HIMMAH (OBSESI YANG TINGGI)

Seseorang dikatakan memiliki ‘uluwwul Himmah atau Obsesi yang tinggi iaitu ketika seseorang telah menganggap remeh segala perkara-perkara di bawah cita-citanya. Misalnya seorang Da’i yang bercita-cita untuk menyebarkan agama Allah SWT. Dia dikatakan memiliki Himmah yang tinggi, ketika dia telah menganggap remeh perkara-perkara selainnya, ketika dia tidak memperduli apapun tentangan dan pengorbanan yang harus dibayar mahal untuk memenuhi tujuan tersebut.

Diceritakan dalam riwayat da’wah Rasulullah s.a.w. ketika orang – orang Quraish mendatangi paman Rasulullah s.a.w, iaitu Abu Thalib dan memintanya supaya memujuk Rasulullah s.a.w. agar menghentikan da’wahnya. Setelah Abu Thalib menyampaikan perihal tersebut. Rasulullah s.a.w. berkata : “Wahai pamanku, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan da’wah ini, aku tidak akan meninggalkannya hingga aku binasa”. Kisah Rasulullah s.a.w. ini menunjukkan tingginya Himmah Rasulullah s.a.w. dalam memperjuangkan agama Allah ini. Baginda telah menganggap remeh semua perkara-perkara yang menghambat da’wah Islamiyah.

C. 'DUNUWWUL HIMMAH (OBSESI YANG RENDAH)

Iaitu ketika jiwa lemah terhadap tingkatan perkara-perkara yang tinggi atau mulia dan lebih memilih redho pada perkara-perkara yang rendah. Jadi orang yang memiliki obsesi rendah ini adalah orang lemah, rendah yang tidak mau mencari masalah dan sayangnya majoriti kaum muslimin sekarang berada dalam tingkatan ini.

Diriwayatkan tentang panglima perang di masa pemerintahan seorang Gabenur Basrah yang bernama Al-Hajjaj. Al-Hajjaj memerintah panglimanya untuk memerangi orang-orang Khawarij yang jumlahnya lebih kurang 200 orang sedangkan panglima ini memiliki pasukan lebih kurang 1000 orang. Sungguh pertempuran yang tidak seimbang. Namun orang Khawarij terkenal sebagai orang-orang yang memiliki keberanian dan kejujuran. Orang Khawarij adalah orang yang tidak mudah putus asa dalam mewujudkan keinginannya. Hingga akhirnya dalam pertempuran itu ternyata pasukan Khawarij memenangi peperangan tersebut. Setelah peperangan selesai, dengan membawa kekalahan panglima kembali menghadap gabenor Al-Hajjaj. Al-Hajjaj bingung mengapa pasukan Khawarij yang jumlahnya sedikit mampu mengalahkan pasukan yang jumlahnya lebih banyak ? Ternyata panglima perangnya adalah orang yang memiliki Himmah rendah, yang lebih baik pulang dalam keadaan hidup, walaupun harus dicaci maki gabenor daripada mati walaupun terkenal dan terhormat. Dalam kisah ini menunjukkan lemahnya Himmah yang dimiliki oleh panglima perang ini. Dia lebih memilih hidup dalam kehinaan daripada mati dalam kemuliaan.

MANUSIA DAN HIMMAH

Setiap manusia secara umum memiliki keinginan atau Himmah, namun tiap-tiap seseorang memiliki tingkatan Himmah yang berbeza-beza sehingga dalam hidup terdapat perbezaan-perbezaan tingkatan amal.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-berbeza” (QS. Al Lail : 4)

Berdasarkan ayat ini, amalan manusia dibedakan dalam 2 hal iaitu :
1. ‘Imma lillah yaitu amal yang dikerjakan semata-mata untuk mendapatkan keridhaan Allah SWT
2. ‘Imma lighairihi yaitu amalan yang dikerjakan bukan karena Allah SWT.. Amalan seperti ini adalah amalan yang dilakukan oleh orang yang memiliki obsesi rendah.
‘Immalillah adalah amalan yang dimiliki oleh orang memiliki obsesi tinggi yang mengejar kemuliaan. Dan ini hanya dilakukan oleh orang yang memiliki iman yang teguh dan kuat mencari kemuliaan disisi Allah SWT.. Dalam ayat berikutnya Allah memberi jaminan kemudahan baginya.

Allah SWT berfirman :”Adapun orang yang memberikan hartanya (dijalan Allah) dan bertaqwa. Dan membenarkan adanya pahala yang baik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah”. (QS. Al Lail : 5-7)

Adapun untuk orang-orang yang memiliki Himmah rendah, yang mengerjakan amalan bukan kerana Allah SWT, tapi kerana nafsu dan keinginan dunia maka Allah memberikan ancaman padanya.

Allah SWT berfirman : “Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyediakan baginya jalan yang sukar. Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa”. (QS. Al Lail : 8 - 11)

Itulah balasan bagi orang yang berpaling dari jalan Allah SWT yang melakukan amalan bukan kerana Allah SWT.. Dan apabila dia diberikan kemudahan oleh Allah SWT sesuai sunnatullah, namun dengan mudahnya berakhir dengan azab, kesengsaraan dan kebinasaan di sisi Allah SWT.

D. PEMBAHAGIAN MANUSIA MENURUT ULAMA

Dilihat dari kadar obsesi atau Himmah-nya, Ulama membahagi kelompok manusia dalam 4 keadaan:

1. ‘Adzhimul Himmah iaitu orang yang memiliki cita-cita yang sangat besar. Yang memiliki al- Kifayah (kapasiti), mempunyai kesempatan, kemampuan untuk mencapai cita-cita lalu berusaha untuk mendapatkannya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata : “Aku dahulu bercita-cita untuk mendapatkan kedudukan gabenor di Madinah, dan kini aku telah mendapatkannya. Kemudian aku berkeinginan untuk mendapatkan kedudukan sebagai Khalifah kaum muslimin di Madinah dan akupun telah mendapatkannya. Kini aku telah dapatkan semuanya, maka cita-citaku adalah untuk mendapatkan Syurga Allah SWT. kerana tidak ada kedudukan yang lebih tinggi setelahnya”.

Ibnu Mubarak ditanya : “Siapakah orang yang paling zuhud ? Beliau menjawab :
“Orang yang paling zuhud adalah Umar bin Abdul Aziz, kerana dia telah didatangi dunia, namun dia menolaknya."

Inilah kisah Umar bin Abdul Aziz, beliau adalah contoh orang yang memiliki Himmah aliyah. Beliau adalah orang yang memiliki kredibiliti kerana keilmuannya, punya kesempatan kerana dia adalah keturunan Muawiyah.

2. Shoghirul Himmah iaitu orang yang memiliki kifayah, kemampuan dan kesempatan tetapi lebih memilih melakukan hal-hal yang remeh atau rendah.

Diriwayatkan tentang seorang khalifah selepas pemerintahan Muawiyah. Dia didatangi oleh petugas pos, dan berkata : “Wahai Amirul Mu’minin! Sesungguhnya kota di sana sedang diserang oleh musuh“. Mendengar laporan petugas pos ini khalifah tidak menanggapinya. Malah dia berucap “Da’ni wa sa’di”(memangnya aku fikirkan).
Konon ceritanya khalifah ini suka memelihara burung merpati. Ketika petugas pos melapor, khalifah sedang kehilangan 1 ekor burung merpatinya. Sehingga dia menganggap bahawa burungnya lebih berharga daripada keadaan rakyatnya. Kisah ini menunjukkan tentang keadaan orang yang memiliki kemampuan, kedudukan dan kesempatan baik, namun dia memilih melakukan hal yang rendah.

3. Orang yang tidak memiliki kemampuan untuk melakukan obsesi tinggi, tetapi berlagak memiliki kemampuan besar.

Datanglah seseorang menghadap Imam Ahmad lalu berkata: ”Wahai Imam Ahmad, ada seseorang yang sedang kemasukan jin”. Mendengar laporan orang ini Imam Ahmad menjawab : “Kembalilah, sampaikan kepada Jin bahawa Imam Ahmad menyuruhnya keluar”. Lalu orang ini kembali dan menemui orang yang kemasukan jin yang dia maksudkan. Sesampainya di sana dia berkata kepada jin bahawa Imam Ahmad menyuruhnya keluar. Mendengar perkataan orang ini, jin inipun akhirnya keluar. Lalu setelah Imam Ahmad meninggal, jin inipun datang lagi dan merasuki seseorang lagi. Kemudian kerana Imam Ahmad sudah meninggal, orangpun mendatangi orang yang dulu menemui Imam Ahmad dahulu dan dikatakan padanya kalau ada orang kerasutan jin. Mendengar penyampaian ini orang yang dulu menghadap Imam Ahmad menganggap kalau dulu Imam Ahmad mengusir jin hanya dengan menyuruh orang saja, maka diapun berbuat serupa. Dia menyuruh orang tersebut : “Kembalilah, katakan pada jin bahawa aku menyuruhnya keluar. Lalu pulanglah orang ini dan melakukan apa yang diperintahkan kepadanya. Namun setelah perintah itu dilakukan jin tersebut tidak juga keluar. Kemudian dia bertanya kepada jin. “Kenapa dulu ketika Imam Ahmad menyuruhmu keluar engkau langsung keluar, sedangkan sekarang ketika aku suruh engkau tidak mau keluar” Jin menjawab :” dulu aku takut kepada Imam Ahmad kerana ketakwaannya”.

4. Al bashiiru binafsihi iaitu orang yang tau diri, yang tidak memiliki kemampuan tinggi dan tidak menempatkan dirinya untuk melakukan hal yang besar.



E. BEBERAPA FENOMENA ORANG YANG PUNYA HIMMAH RENDAH

1. Berkaitan tentang keupayaan seorang muslim menuntut ilmu. Ketika dia tidak mau mempelajari hal-hal yang wajib dilakukan oleh muslim. Misalnya mempelajari tentang rukun-rukun sholat dan lain-lain.

2. Ketika orang menuntut ilmu bukan untuk mendapatkan manfaat dari ilmu, atau menuntut ilmu bukan untuk dida’wahkan tetapi hanya untuk mendapatkan ijazah ataupun pekerjaan semata.

3. Ketika orang menuntut ilmu supaya nampak hebat dalam berdebat, pandangan orang tertuju padanya.

4. Ketika seseorang yang baru menuntut ilmu dan baru mendapatkan hidayah, begitu mudah memberikan tahzir atau cap buruk pada ulama atau orang yang lebih berilmu di atasnya. Kerana sepatutnya seseorang apabila semakin berilmu semakin takut pada Allah.

5. Ketika seorang da’i yang berda’wah di jalan Allah SWT, kemudian mendapatkan tentangan berda’wah, dia berhenti. Kerana sepatutnya seorang da’i ketika mendapatkan da’wah harus tegas. Ketika agama memintanya meninggalkan kepentingan peribadinya dia bersedia.

6. Ketika kita takut kepada manusia iaitu :

. Takut jangan sampai orang lain tergolong menjadi musuh Islam, ketika kita berda’wah kita dicap sebagai orang yang fundamentalis, ekstrim atau bentuk kata-kata teroris lainnya. Padahal ucapan/cap/opini public yang diwara-warakan buruk tentang Islam adalah hal yang sengaja dilakukan oleh mereka agar kaum muslimin lemah.
• Berputus asa ketika dalam berda’wah tidak disambut baik oleh orang. Putus asa kerana orang menjauhi perjuangannya. Padahal semestinya kita sedar bahawa prinsip dasar kita dalam berda’wah adalah hanya menyampaikan agama Allah SWT, adapun orang mau menerima atau tidak adalah hak Allah SWT
Allahu A’lam

PENYEBAB TINGGI DAN RENDAHNYA HIMMAH

Iaitu perkara yang apabila seseorang meninggalkan atau menjauhi hal-hal yang menyebabkan rendahnya Himmah dan semangat itu dia akan mendapatkan pertolongan Allah SWT untuk tetap dalam himman yang aliyah.

1. Tabiat Manusia

Kerana Allah SWT telah menciptakan manusia sesuai dengan tabiatnya masing-masing oleh kerana itu hendaknya seseorang memahami tabiatnya dan memilih tempat-tempat yang tepat sesuai dengan tabiat yang dia miliki untuk mengembangkan potensi diri yang ada padanya, misalnya ada orang yang diberikan kemampuan untuk berfikir, maka hendaknya ia berusaha dalam meningkatkan semangatnya tersebut seperti mengurus pejabat, menulis, mengeluarkan idea-idea yang baik, kemudian menggambarkan tujuan-tujuan, menyusun program-program kerja dan lain-lain. Ada orang yang diberikan kemampuan untuk senang bergerak ke sana ke mari, kalau urusan di medan dialah yang sesuai, maka orang seperti ini mencari kerja-kerja yang memenuhi tabiatnya tersebut.

Rasulullah s.a.w. ketika melihat potensi-potensi para sahabat sesuai dengan tabiat yang mereka miliki, maka beliau memberikan semangat dan menempatkan para sahabat sesuai dengan potensinya.

Contohnya Abu Hurairah R.a diberi gelar atau disebutkan wadah dari ilmu, kerana Rasulullah s.a.w. melihat beliau kuat hafalannya dan sangat mudah menimba ilmu dan menerima hadist dari Rasulullah s.a.w. sehingga dikenali sebagai sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadist.

Khalid Bin Walid r.a, misalnya, beliau ini bukan termasuk sahabat yang banyak menghafal dan bukan pula setaraf sahabat yang banyak meriwayatkan hadist dan penuntut ilmu, akan tetapi Rasulullah s.a.w, melihat beliau ini tangkas di medan peperangan dan mimilki kemampuan dalam berperang, sehinga Rasullullah s.a.w, demikian pula sahabat seperti Abu Bakar r.a, dan khalifah setelahnya mengangkat beliau sebagai panglima perang untuk melawan orang-orang kafir, bahkan beliau diberi gelar sebagai saif min suyufillah (pedang dari pedang-pedang Allah).

Demikian dengan yang lain, adapun Ali bin Abi Thalib r.a, dan Muadz bin Jabal r.a, mereka ini adalah orang-orang yang faham tentang halal haram dan faham dalam masalah qoda'/hukum-hukum maka sahabat tersebut terkenal dengan hukum-hukumnya tersebut kerana orang-orang yang bergelut dalam masalah ini seperti qodi atau hakim harus memiliki ketajaman dalam mempraktikkan daripada nash-nash yang ada tersebut. Sehingga Rasulullah s.a.w, betul-betul dapat memanfaatkan potensi yang dimiliki para sahabat Maka hendaknya kita melihat tabiat masing-masing sehingga kita dapat memilih tugas yang sesuai dengan potensi yang dimiliki, supaya Himmah kita tetap terjaga.

2. Bagaimana bapak dan ibu mentarbiyah anak-anaknya di rumah

Rasulullah s.a.w, bersabda yang ertinya : “Tidaklah lahir seorang anak kecuali dalam keadaan fitrah, kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”

Jika kita melihat hadist tersebut, ini dalam perkara-perkara agama di mana orang tua sangat berpegaruh dalam pembinaan Himmah anak-anaknya. kalau orang tua senantiasa mengajarkan perkara-perkara yang tinggi, perkara yang memiliki keutamaan yang besar baik, maka insya Allah SWT anak akan terbentuk seperti didikan orangtuanya.

Tetapi sebaliknya jika orang tua senangtiasa mengajarkan hal-hal yang hina dan kurang bermamfaat maka anak tersebut akan terbentuk menjadi seperti itu pula. Banyak contoh di kalangan para sahabat, sebagai contoh Zubai ibnu Awwam r.a, di mana sahabat ini dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w, . Beliau ini senantiasa mengajarkan anaknya berperang sampai dalam satu kondisi beliau sampaikan kepada anaknya bahwa siapa yang paling duluan masuk dalam pasukan musuh dan paling cepat kembali. Ini salah satu contoh sahabat yang membina anaknya dengan menanamkan Himmah Aliyah sehingga tidak heran kalau Ibnu Zubair menjadi seorang khalifah, karena sejak awal terlatih seperti itu contoh lain adalah kisah pada perang badar, ada dua anak kecil di antar para sahabat bertanya manakah yang bernama Abu Jahal, lalu berkata kami akan mencari Abu Jahal dan berusaha membunuhnya, dia yang mati atau kami yang terbunuh padahal mereka masih anak-anak, lalu mereka berhasil membunuhnya.

Ini karena mereka telah tertarbiyah sejak kecil. Kerana itu seorang penyair mangatakan “ibu itu adalah madrasah atau tempat belajar yang pertama”. Kalau ibu dipersiapkan dengan baik, maka akan lahir generasi yang baik.

Dalam situasi kita sekarang ini banyak orang tua tidak memperhatikan anaknya, membiarkan anaknya banyak bermain, mendengarkan musik, bergelut dengan urusan-urusan hina yang tidak bermanfaat, atau orang tua tidak memilihkan bagi mereka teman-teman yang baik dan tidak memerintahkan anaknya mengerjakan sholat sehingga mereka membesar dalam keadaan seperti itu. Oleh kerana itu, agar Himmah itu tetap ada maka hendaknya orang tua mentarbiyah anaknya di rumahnya.

3. Masyarakat yang baik

Apabila masyarakat itu adalah masyarakat yang solehah di dalamnya senantiasa dibina akhlak yang mulia maka darinya akan lahir orang yang baik pula. Juga sebaliknya apabila masyarakat memiliki biah (suasana)yang buruk, hidup dalam suasana yang kurang baik, maka akan hidup individu-individu yang buruk pula.

Contohnya Rasulullah s.a.w, menceritakan kepada para sahabat kisah seorang daripada Bani Israil yang telah membunuh 99 orang yang ingin bertaubat, mencari orang yang paling alim di dunia ini lalu ia ditunjukkan kepada orang yang ahli ibadah, lalu ahli ibadah tersebut menghukumi dengan perasaannya dan mengatakan tidak ada taubat lagi bagimu, maka dibunuh pula ahli ibadah tersebut sampai korbannya genap 100, dia tidak puas dengan jawaban ahli ibdah tersebut dan keinginannya masih kuat untuk bertaubat maka dia mendatangi alim yang lain dan bertanya apakah taubat saya masih diterima, saya telah membunuh 100 orang. Alim tersebut berkata apa yang menghalangi kamu untuk bertaubat, Allah SWT akan menerima taubatmu. Kemudian dia disuruh pindah dari kampungnya yang rosak ke kampung yang baik, lalu berangkatlah orang tersebut dan di tengah perjalanan dia meninggal, maka dengan rahmat Allah SWT iapun dicatat sebagai penghuni syurga.

Dari kisah ini dapat kita mengambil pelajaran bahawa biah ini dapat memproses orang tersebut, maka tanggungjawab kita bagi pejuang-pejuang dakwah untuk mengajak orang ikut dalam majlis-majlis ilmu, dan berlepas diri dari akhlak jahiliyah dan perkara-perkara yang buruk.

4. Dengan adanya para murabbi dan guru boleh diteladani

Yang mereka itu mampu menjadi qudwah bagi yang lain. Allah SWT telah memerintahkan kita untuk meneladani Rasulullah s.a.w.

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (QS. Al Ahzab:21)

Dari ayat ini menunujukkan pentingnya keberadaan murabbi di tengah-tengah muridnya/mutarabbi sebagai orang yang memberikan contoh. Apabila mutarabbi betul-betul menimba ilmu dengan akhlak dari murabbi tersebut, maka akan terbentuk peribadi yang soleh. Bagaimana seorang murabbi betul-betul dapat memberikan contoh perbuatan sesuai dengan apa yang disampaikan. Sebagaimana yang telah dicontohkan Rasulullah s.a.w, kepada sahabatnya sehingga beliau mendapat pujian sebagai seorang yang berakhlak mulia.

Diriwayatkan dari ‘Aisyah Radiallahu anha, tatkala ditanya tentang bagaimana akhlaknya Rasulullah S.a.w, beliau menjawab : “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran”. Sahabat dahulu adalah bagaikan Al Qur’an yang berjalan, sebab teori-teori yang ada dalam al Qur’an telah dipraktikkan oleh sahabat di setiap sudut hidupnya sampai Islam dimenangkan. Inilah pelajaran bagi murabbi untuk mempraktikkan teori-teori yang telah disampaikan kepada mutarabbinya.

Contoh lain ketika Rasululah s.a.w, berbicara tentang jihad, maka beliau adalah orang yang paling depan dalam peperangan, dan sangat berani. Suatu ketika di Madinah orang-orang mendengar sesuatu yang menakutkan, dan orang – orang sembunyi mencari di mana dan suara apa itu. Namun ternyata Rasulullah s.a.w, telah pulang dari tempat tersebut dengan kudanya tanpa pelana dan mengatakan bahawa tidak ada apa-apa bahaya. Ini menunjukkan keberanian Rosulullah s.a.w, beliau bukanlah seorang pengecut.

5. Tasyji’ atau Pembakar Semangat

Kebanyakan orang memiliki semangat tinggi namun kurang diarahkan pada perkara yang bagus.

Suatu ketika Ibnu Masud r.a, tatkala melewati seorang yang bernyanyi dengan suaranya yang indah, maka Ibnu Mas’ud r.a, berkata alangkah indahnya suaramu dan lebih bagus lagi seandainya engkau membaca al-Quran lalu pemuda ini kerana tertasyji’ oleh kata-kata Ibnu Mas’ud dia mulai membaca Al Qur’an dan akhirnya dia menjadi orang yang bersuara indah dalam membaca Al Qur’an. Lalu dia bertanya siapakah orang ini ? maka dijawab dia adalah Ibnu Mas'ud sahabat Rasulullah s.a.w.

Imam Syafi’i adalah seorang yang menguasai syair-syair, yang beliau kuasai dari para pakar-pakarnya. Suatu ketika, seseorang mendengar Imam Syafi’i sedang melantunkan syair-syair. Orang itu berkata : “Masakan engkau dari keturunan Quraish, hanya boleh menghafal syair-syair saja. Tidakkah engkau memulai menghafal Al Qur’an dan hadist-hadist Rasulullah s.a.w." Mendengar kata-kata orang ini, Imam Syafi’i tertasyji’ untuk belajar kepada Imam Malik sampai beliau menjadi ulama besar, bahkan menjadi salah satu mahzab terbesar.

Dari riwayat ini boleh diambil contoh bahawa tasyji’ atau penyemangat itu bukan hanya dari orang-orang seperti Ibnu Mas’ud r.a, atau semisalnya tetapi boleh saja berasal dari orang-orang umum bahkan orang yang bermaksiat.

Adalah imam Ahmad, yang terkena fitnah tentang Al-Qur’an yang dianggap makhluk. Tatkala masuk di penjara bersama seorang peminum khamar tetapi peminum itu memberi semangat kepada Imam Ahmad, ertinya semangat itu boleh kita ambil dari manapun , apa kata orang tesebut: “Yaa Imam, saya ini masuk penjara kerana bermaksiat maka saya dicambuk tapi saya tetap sabar menahan siksaan, sedangkan anda wahai imam dipenjara dan disiksa kerana mempertahankan kebenaran, tentunya anda harus lebih kuat dari saya”. Sehingga Imam Ahmad berkata: “Perkataan itulah yang menjadikan saya semakin kuat untuk bertahan siksaan tersebut."

6. Iman kepada Allah SWT

Setiap kali bertambah iman seseorang maka semakin bertambah Himmah seseorang. Iman ini akan mengajak kepada akhlak yang baik. Rasulullah s.a.w, bersabda : “Sesungguhnya aku diutus tidak lain kecuali untuk menyempurnakan akhlak manusia”

Allah SWT berfirman : “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” (QS. Al Ankabut:69)

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Dia bersama orang-orang yang berbuat ihsan. Dan ihsan ini adalah kedudukan tertinggi dalam urutan agama ini, Islam, Iman dan Ihsan. Sebagaimana dalan hadist Jibril, ihsan iaitu engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, meskipun engkau tidak melihatnya, sesungguhnya Allah melihatmu. Maka ini adalah tingkatan yang tertinggi..
Maka barang siapa yang telah menyempurnakan keislamannya memenuhi keimanannya dengan sekuat tenaga maka hal ini adalah perkara yang sangat penting menyebabkan seseorang untuk mendapatkan Himmah ‘aliyah.

7. Membaca Sejarah Orang-Orang Yang Telah Berhasil Kerjayanya

Membaca sirah atau sejarah orang-orang besar yang telah berhasil dalam kerjayanya, samada dia seorang muslim ataupun non-muslim. Jika dia seorang muslim, tentunya dari para ulama-ulama yang telah berhasil. Dan sebenarnya perkara keberhasilan itu bukanlah suatu yang sulit, kerana perkara itu adalah perkara yang manusiawi, yang semua orang mampu meraihnya. Sehingga ini adalah persoalan mudah dan tidak dianggap sebagai persoalan yang tidak mungkin.

Kemudian dari kisah-kisah tersebut, kita juga boleh mempelajari uslub-uslub atau bagaimana tatacara mereka memperoleh keberhasilan tersebut, dan tidak memiliki Himmah yang rendah.

Thursday, December 3, 2009

Gambar2 Qurban 1430 di Gong Badak,Terengganu



Assalamualaikum wrt. wbt. Alhamdulillah sekali lagi Allah swt kurniakan kita peluang utk sama-sama kita menyambut Eidul Adha atau Hari Raya Qurban @ Haji.

Sedikit perkongsian dengan anda sekalian... Saya ditamatkan kontrak oleh KUSZA (sekarang UDM) pada 16/9/2004 kerana sebab-sebab yang saya telah ceritakan dalam coretan nostalgia yang lalu.Bermacam-macam aktiviti saya cuba lakukan untuk ikhtiar hidup termasuk takaful, belajar jual tanah secara kecil-kecilan kerana ketiadaan modal...terlibat dengan petronas carigali dan mengajar di platform (offshore); saban minggu saya naik coper di airport Kerteh untuk pakej 3 hari 2 malam di tengah laut sana. Akhirnya saya ke KL di Sri Kembangan.

Satu perkara yang saya tak pernah lupa ialah tentang usaha dakwah yang sudah menjaadi darah daging saya sejak di bangku sekolah lagi hingga kini. Ketika 8 tahun berkhidmat di KUSZA sebagai Imam merangkap felo Asrama pelajar di sana, saya sentiasa berinteraksi dengan semua orang. Semua golongan yang menjadi pelanggan masjid mengenali saya dan saya mengenali mereka walaupun tak semua nama saya ingat. Seringkali saya disapa oleh ramai orang yang saya sudah lupa namanya, tetapi tidak pada rupanya...mereka adalah makmum-makmum saya atau pelanggan-pelanggan saya di masjid selama 8 tahun ditambah 2 tahun kerana sebelum ke KUSZA saya bertugas di Masjid al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang) sebelah Hospital Besar Terengganu.

Pengalaman itu amat mahal harganya, ia tidak boleh didapati dari sekolah maupun IPT. Ia adalah bisnes kita yang utama; iaitu berhubungan dan berinteraksi dengan manusia ramai seraya memberi yang terbaik, bukan meminta. 'Sebaik-baik manusia ialah mereka yang mampu memberi manafaat kepada manusia lain', sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi saw.

Sebab itulah sehingga ke saat ini pelanggan-pelanggan masjid saya dulu masih menangisi pemergian saya. Mereka masih bersimpati dan akan menagih khidmat saya bila saya ada kelapangan termasuk untuk sembelihan korban.

Jadi anda bagaimana? Jom lakukan yang terbaik dalam hidup ini sebelum Allah menjemput kita bertemu denganNya. Mari kita berdakwah ke jalan Allah dengan cara yang paling berhemat; iaitu dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah saw....








Thursday, November 26, 2009

Hari ini 9 Zulhijjah 1430_disunatkan puasa !!



Tahniah kepada anda semua kerana Allah Ta'ala masih memberi peluang untuk sama-sama berpuasa 9 haribulan Zulhijjah atau 'shiyamu yaumi arafah'.. Esok 'yaumul ied' atau Eidul Adha...

Thursday, November 19, 2009

SAYA AMAT TERTARIK DENGAN TULISAN INI....




SEKADAR PANDANGAN.. saya amat suka bila berlaku sesuatu isu -yang panas-, minda kita seharusnya lebih terbuka dan memandang jauh ke hadapan demi maslahat yang lebih besar. Jangan memberi ruang kepada musuh Islam memperlekehkan kita kerana perbalahan yang tidak berkesudahan. Mari kita merenung tulisan ini...

Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.

Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Sebagai contoh:

* tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi,
* menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,
* membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki,
* tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi.

Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.

Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.

Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه

Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

* a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.

* b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.

Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"

"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة

" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم

Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه

Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Nov 2009

Friday, November 13, 2009

9 Prinsip Untuk Kembalikan Kemesraan...




Orang bijakpandai berkata untuk mengembalikan kemesraan kita perlu ada 9 prinsip yang utama...

Prinsip 1:

Jangan mengutuk, mengkritik dan merungut secara keterlaluan

Prinsip 2:

Memberi penghargaan

Prinsip 3:

Bangkitkan semangat yang membara kepada orang yang berada di sekeliling anda

Prinsip 4:

Tunjukkan minat yang tulin secara ikhlas

Prinsip 5:

Senyumlah selalu kerana ia adalah sedeqah tanpa berhabis duit

Prinsip 6:

Ingat nama seseorang dan sebut namanya menurut kesukaannya

Prinsip 7:

Jadilah pendengar yang baik dan galakkan orang bercakap tentang dirinya

Prinsip 8:

Bercakaplah dengan seseorang dari sudut minat orang itu

Prinsip 9:

Buatlah diri orang lain merasa penting bagi kita

Semoga tip-tip di atas dapat dijadikan panduan untuk mengembalikan kemesraan dengan orang yang kita kasihi...

Nabi saw bersabda: 'Orang mukmin itu ialah orang yang mudah bermesra dengan orang dan orang lain pula mudah bermesra dengannya.'

Thursday, November 12, 2009

Mari kita belajar dari SEMUT....



Hadith di atas diriwayatkan oleh Al-Baihaqi

Renungan hari ini bersama pengajaran besar daripada ‘pengurusan’ yang ditunjukkan oleh semut. Ia nampak pelik dan ganjil bagaimana manusia yang Allah swt lebihkan mereka dalam pelbagai sudut tiba-tiba perlu juga belajar daripada semut yang daif.

Serangga yang dipanggil semut dianggap oleh manusia sebagai mengganggu lagi menyakitkan… kita kena belajar daripadanya ilmu yang tidak diperolehi daripada manusia!

Apakah tidak cukup lagi burung Belatuk untuk mengajar kita? Burung Belatuk sekurang-kurangnya burung yang memiliki keindahan tersendiri, saiz badan yang agak besar, bersuara merdu dan cantik dipandang…. Tetapi semut?

Sesungguhnya ia adalah semut, namun kebijaksanaannya mengurus dan bekerja mengandungi banyak hikmah, ia adalah semut di zaman Nabi Sulaiman alaihissalam yang dikehendaki Allah swt untuk mengajar kita.. Ya ! kebijaksanaannya terpancar daripada hikmat Nabi Sulaiman sendiri yang mengetahui bahasa-bahasa haiwan termasuk burung, serangga dan segala makhluk di zamannya.

Masakan tidak ya akhi! Allah swt telah menamakan satu surah yang sempurna dari surah-surah di dalam al-Quran yang mengandungi 93 ayat dengan namanya –Surah An-Naml-, cerita semut hanya terdapat dalam beberapa ayat dari surah ini.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah An-Naml ayat 17-19:

"Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya terdiri dari jin, manusia dan burung lalu mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut: "Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedari." Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku! Anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."

Ayuh kita belajar dari semut walaupun dari beberapa ayat di dalam al-Quran. Saya berpendapat ia amat mustahak untuk diperhatikan.

Pertama: Tekun dalam pekerjaan

Tidak syak lagi bahawa kualiti kerja dan tekun dalam pekerjaan amat penting dalam pengurusan kini. Sehingga kita dapati semua perkara yang berkait dengan pengurusan mesti bergandingan dengannya ketekunan. Dan yang dikatakan kesempurnaan kualiti itu ialah seseorang itu melaksanakan kerja dalam sebuah tanzim (organisasi) semaksima mungkin tanpa sedikitpun berlaku kesilapan, berdasarkan etika kerja yang telah disepakati –sekalipun tidak tertulis- mengikat antara semua individu yang ada di dalam tanzim dalam lingkungan yang saling melengkapi satu sama lain. Kesilapan seorang atau sebahagian akan memberi kesan negatif kepada yang lain. Benarlah apa yang disabdakan Nabi saw tentang kaitan hubungan tersebut di antara para mukminin dengan ‘satu jasad’ dalam toleransi dan kasih sayang dan ‘seperti binaan yang menyokong antara satu sama lain’ di dalam kekuatan dan keutuhan.

Kesimpulan itqan secara umum (tekun dlm kerja) dalam mana-mana organisasi dari semua individu di mana-mana tempat sekalipun; ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah Ta’ala.

Iaitu apa yang kita pelajari dari kisah semut; ia menunaikan tugas yang menjadi kewajipan dengan cemerlang –darjat itqan- Ketekunan itu membawa kepada terlaksananya objektif. Semut berkenaan telah memberi amaran kepada kaum kerabatnya pada waktu yang sesuai dan akhirnya menyelamatkan mereka semua daripada bencana yang bakal menimpa.

Kedua: Sedar, prihatin dan iltizam (komitmen)

Ketiga-tiga perkara ini penting bagi menjayakan satu-satu tugas sebagaimana yang ditunjukkan oleh semut tersebut. Tanpa sifat di atas tidak mungkin sesuatu tugas dapat disempurnakan. Bahkan kelekaan sedetik boleh mengakibatkan kemusnahan menyeluruh kepada anggota tanzim. Justeru menjadi kemestian bagi setiap anggota tanzim tekun dan ihsan melaksanakan tugasan yang diamanahkan sehabis kemampuan dengan penuh sedar dan prihatin. Dia sebenarnya berada pada satu sudut penting dari semua sudut tanzim, jangan sampai bahaya datang melalui sudut di bawah jagaannya.

Kecuaian daripada seorang atau beberapa individu dalam tanzim tidak hanya akan memudharatkan mereka yang berkenaan sahaja, malah ia akan mendatangkan kemudharatan dan kerugian kepada semua yang berada dalam tanzim. Lihatlah apa yang berlaku dalam peperangan Uhud apabila beberapa individu para sahabat mengingkari arahan Rasulullah saw; ia merupakan bukti betapa pentingnya keprihatinan dan komitmen yang padu perlu wujud dalam bertanzim.

Ketiga: Semangat dan kehendak yang kuat

Kita perlu faham bahawa setiap perkara besar yang ingin dilaksanakan perlu kepada semangat dan kehendak yang kuat bagi menjayakannya. Musuh utama dalam diri manusia ialah lemahnya semangat dan kehendak.

Berkata penyair:

Keazaman datang mengikut kadar kuat azam seseorang
Kemuliaan datang mengikut kadar mulianya seseorang
Perkara besar akan jadi kecil apabila orang itu jadikan ia kecil
Perkara kecil akan jadi besar apabila orang itu jadikan ia besar

Dari sini kita tahu bahawa apa yang dilakukan oleh semut berkenaan sebenarnya didorong oleh keikhlasan, komitmen dan semangat yang tinggi. Kalau tidak pasti ia akan mendiamkan diri, malas dan menyerah sahaja kepada taqdir…

Keempat: Keazaman yang kental/utuh

Apabila semangat mendorong melakukan persediaan, meletakkan perancangan dan mengambil sebab-sebab yang akan membawa kejayaan, maka keazaman bermakna menetapkan hati untuk meneruskan apa yang dirancang tanpa ragu-ragu saat perlaksanaan tanpa menghiraukan apapun halangan.

Berkata penyair Al-Mutanabbi:

Bila engkau ada pendapat maka milikilah keazaman
Kerana rosaknya pendapat bila adanya keraguan

Jelas dari pendirian yang diambil oleh sang semut bahawa ia bukan hanya memiliki semangat yang tinggi untuk memenuhi faktor kejayaan, malah ia giat melaksanakan usaha mencapai matlamat tanpa menghiraukan apapun halangan sekalipun terpaksa menggadai nyawanya sendiri. Keazaman kental seumpama ini jarang terdapat pada manusia banyak maupun mereka yang terlibat langsung dengan pengurusan. Bayangkan jika sang semut teragak-agak dalam tindakannya atau lambat membuat keputusan, maka ia tidak akan dapat laksanakan tugasnya, seterusnya menyelamatkan kaum kerabatnya daripada bahaya yang pasti. Saya akan terangkan lebih terperinci dalam konteks pengorbanan nanti.

Kelima: Pengorbanan dan tiada kepentingan diri

Tiada kerja tanpa ketekunan dan jihad, tiada jihad tanpa pengorbanan. Setiap matlamat atau hadaf (objektif) tidak syak lagi perlu kepada jihad dan pengorbanan pada jalannya. Pengorbanan ialah sama ada dengan masa atau harta benda atau yang paling tinggi ialah dengan nyawa.

Pengorbanan tersebut perlu kepada intima’ (penggabungan) yang tinggi, bahkan kaitan antara semua objektif individu dan tanzim perlu sejajar sampai ke tahap ‘peleburan’…paling tinggi yang menjadi cita-cita setiap tanzim terhadap anggotanya.

Sang semut sebagai salah seekor dari kaumnya yang ditaklifkan untuk melaksanakan tugas tertentu –meninjau dan mengeluarkan amaran- telah menunjukkan pengorbanan yang dahsyat demi kaumnya. Ia telah bergegas mengerahkan tenaganya berdepan dengan Nabi Sulaiman dan bala tenteranya. Ia bernasib baik kerana kata-katanya itu didengari oleh Nabi Sulaiman. Sang semut tadi boleh –kalau ia mahu- selamatkan diri sendiri tanpa bersusah payah berusaha memberi amaran kepada yang lain, namun ia tidak hanya mementingkan dirinya sahaja…. Ia terus segera mendapatkan kaumnya menongkah arus laluan bala tentera, bersabung nyawa kerana boleh jadi ia akan terkorban sebelum sampai ke tempat kaumnya berkumpul. Alangkah hebatnya pengorbanan Sang semut ! Nyawanya menjadi taruhan dan tiada langsung kepentingan diri sendiri…. Dari sini kita dapat belajar berpandukan kebijaksanaan yang Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman. Bukan sekadar baginda memahami bahasa haiwan, bahkan kebijaksanaan dari tindak tanduk haiwan pun dapat dimengerti oleh baginda alaihissalam.

Keenam: Peraturan dan pembahagian kerja

Dari kisah Sang semut ini kita dapat memahami betapa berdisiplinnya ia. Bukan sekadar berdisiplin dan pandai mentadbir bahkan dapat merancang untuk masa depan. Kisah tersebut menggambarkan bahawa di sana ada peraturan dan pembahagian kerja atau tanggungjawab yang ditentukan terdahulu… seolah-olah Sang Semut berkenaan telah ditaklifkan untuk ‘berkawal’. Al-Quran menyebutkan ia sekadar Sang Semut biasa, membuat tinjauan untuk mengeluarkan amaran dan peringatan agar kecelakaan dapat dielakkan mengikut perkiraan masa yang mencukupi… Ia bukan ketua.. “Berkata Sang Semut”… Ia telah berjaya menjalankan tugasnya seperti semut-semut yang lain juga. Semua semut-semut yang ada pada hari itu menjalankan tugas masing-masing secara berimbang serta saling menyempurna antara satu sama lain dalam lingkungan disiplin menyeluruh yang amat indah sekali. Sang Semut secara kolektif dilihat mempunyai disiplin yang amat indah…

Ketujuh: Mengurus kecemasan

Ini pelajaran yang amat berguna. Bagaimana menguruskan kecemasan atau kecelakaan? Yang terpenting dalam asas mengurus kecelakaan ini ialah mengelakkan dari berlaku sejak awal lagi. Ia tidak mungkin dapat dilakukan melainkan melalui scenario andaian atau kebarangkalian berlaku kecelakaan; soalnya apa akan jadi bila berlaku sekian?? Dalam konteks kisah Sang Semut di atas, kecelakaan yang bakal berlaku ialah kedatangan bala tentera dalam skala besar menuju ke arah ‘negara semut’ tanpa disengajakan…lalu akan membinasakan keseluruhan ‘negara semut’ tadi. Justeru meminimakan kadar kecelakaan adalah dituntut; namun ia tetap merupakan kecelakaan juga. Oleh itu apa yang boleh dilakukan ialah berusaha sehabis kemampuan untuk mengurangkan kemalangan iaitu dengan mewujudkan stesyen-stesyen amaran awal dan siaran amaran kecemasan sebelum berlaku dalam tempoh waktu yang sesuai untuk membuat persediaan….

Dalam situasi yang berlaku kepada Sang Semut di atas, ia telah memberi amaran awal berdasarkan andaian akan berlakunya kecelakaan secara pasti… hingga nyawanya menjadi taruhan –seperti yang dikisah sebelum ini- Di sana ada andaian bahawa Nabi Sulaiman dan bala tenteranya kemungkinan akan merempuh ‘negara semut’ dan ada andaian lain bahawa mereka akan melencong ke laluan lain.. Semua itu kebarangkalian yang akan berlaku. Sang Semut tidak membuat andaian yang ketiga, contohnya ia kata: “Insya Allah semua baik-baik saja, jangan bimbang kita semua akan selamat… ” Akan tetapi ia memutuskan untuk memberi amaran awal sehingga bahaya yang bakal menimpa dapat dielakkan dan kecelakaan dapat diringankan sedapat mungkin.

Kelapan: Bersegera (tidak bertangguh)

Semangat untuk segera bertindak di sini jelas dilihat pada usaha menunaikan tugas tanpa berlengah. Sang Semut tidak menunggu-nunggu atau berserah bulat-bulat tanpa apa-apa usaha atau menunggu yang lain melakukan tugas tersebut. Tiada dalam fikirannya ‘kenapa semestinya saya yang lakukan’…’yang lain buat apa?’ Tetapi ia bangun menjalankan tugas tanpa disuruh sebagaimana kata-kata Thorfah ibnul Abd dalam mu’allaqahnya:

Apabila kaum itu berkata: Siapa pemuda itu? Aku menjawab ..saya yang bertanggungjawab dan saya tidak gentar dan tidak akan berundur…

Kesembilan: Perlaksanaan

Bersegera menjalankan tugas merupakan kemuncak kepada fikrah untuk membuat persediaan menunaikan tugas, maka perlaksanaan ialah perkara yang akan membawa kepada daerah penyempurnaan.Kedua-duanya ‘segera dan laksana’ adalah spirit pengurusan yang telah ditunjukkan oleh Sang Semut dalam kisah di atas….

Kesepuluh: Merasai tanggungjawab

Keseluruhan kisah yang disebutkan di atas tidak akan berlaku jika tidak ada perasaan tanggungjawab dalam jiwa Sang Semut tersebut. Boleh jadi ia hanyalah duduk pada tahap paling bawah dalam pyramid tanzim (hairaki tanzim), tetapi ia amat sensitive terhadap tanggungjawab seolah-olah ia orang nombor satu bertanggungjawab terhadap kaum kerabatnya. Perasaan tanggungjawab seperti inilah yang amat diperlukan oleh mana-mana organisasi atau tanzim. Dalam kisah ini terdapat sentuhan-sentuhan yang amat berguna.. Sang Semut telah mengajar kita dengan pengajaran yang maha hebat pada pandapat saya. Saya akan berhenti di sini kerana setakat ini kemampuan yang Allah swt anugerahkan kepada saya. Moga-moga di sana terdapat banyak lagi pengajaran yang boleh dikutip, mahukah kita mengambil iktibar? Apakah tidak sayugia kita bekerja seperti Sang Semut?! Tidakkah anda tahu sekarang….mengapa terdapat satu surah di dalam al-Quran dinamakan dengan Surah An-Naml?

Sunday, November 8, 2009

طبيعة دعوتنا البناء.. وليس من طبيعتها الهدم

Imam Syahid Hasan Al-Banna



Tabiat Dakwah Kita Membina.. bukan Meruntuh, maka bertenanglah wahai penguasa sekalian..


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..


Sekarang saya akan menulis untuk kalian -saya telah bercakap secara lisan kepada anda sekalian- agar kata-kata lebih tepat dan ibarat yg digunakan lebih jelas dan terang apa yang saya kehendaki sesuai dengan fikrah bersempena langkah-langkah terkini bagi dakwah kita demi matlamat yang kita harapkan. Suka saya nyatakan di sini bahawa dakwah kita terus maju ke depan.. Anda telah saksikan ianya telah berkembang sampai ke Cairo (Kaherah) dan terus berkembang ke daerah-daerah yang lain, alhamdulillah...


Perkembangan dakwah ini telah menarik perhatian orang ramai kepada kalian, lalu mereka tertanya-tanya tentang kalian, di bahu kalian terpikul cita-cita dan harapan untuk 'pengislahan' sebenar di negara kita yang sedang membangun ini. Ia juga merupakan harapan mereka yang beriman untuk melihat kebaikan untuk Islam dan umatnya. Maka bersyukurlah kepada Allah swt di atas kurniaanNya dan pohonlah selalu kepadaNya agar Allah swt membetulkan langkah kalian, menerima daripada kita dan agar Allah swt tidak meninggalkan kita kepada diri kita sendiri.. Ketahuilah bahawa ini merupakan tanggungjawab baru di atas bahu-bahu kalian.. Saya akan bercakap berkisar tiga perkara penting; pertama dakwah kita, kedua pendirian yang harus kita ambil terhadap pertubuhan-pertubuhan yang bekerja untuk kemaslahatan umum dan ketiga pembahagian kerja (amal) pada pandangan saya.... kepada Allah swt saya bermohon taufiq...


Pertama: Tabiat dakwah kita


Setiap dakwah ada ciri-cirinya, antara ciri-ciri dakwah Ikhwan ialah setiap elemen kekuatan disempurnakan oleh elemen yang lain, cantiknya apabila kita merangkul kesemuanya sehingga mencapai kejayaan yang sempurna dengan taufiq Allah swt insyallaah...


Antara cirinya ialah positif (الإيجابية) dan membina (البناء). Dakwah kita bersifat membina bukan meruntuh dan sentiasa melihat kepada yang bersifat positif di samping mengambil berat tentang diri sendiri terlebih dahulu sebelum yang lain.


Antara cirinya lagi ialah amal selari dengan kata-kata (مطابقة العمل للقول), menjadi kewajipan kita mengkaji perlembagaan kita, nescaya akan terlaksanalah apa yang disebutkan itu..


Antara cirinya lagi ialah rabbaniah ( الربانية), maka wajiblah kita sentiasa berhubung dengan Allah swt sehabis kemampuan kita dengan melazimi zikir, doa dengan yang ma'thur, dan di dalam risalah "المأثورات" sudah memadai.


Kedua: Pendirian kita terhadap dakwah-dakwah lain


Pendirian kita daripada dakwah-dakwah di negara ini dari sudut agama, sosial, ekonomi maupun politik -berdasarkan tabiat dakwah kita- hanyalah satu, semoga semuanya mendatangkan kebaikan dan kita berdoa semuanya mendapat taufiq... bahawa sebaik-baik jalan yang patut kita lalui ialah agar jangan sampai dakwah-dakwah tersebut menjadikan kita sibuk melebihi tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri.. Sesungguhnya kita amat berhajat kepada bekalan dan persediaan. Umat kita amat memerlukan tentera untuk berjihad dan masa tidak mengizinkan kita melihat dan terpengaruh dengan orang lain. Semua kita dan mereka di lapangan (medan) masing-masing... dan Allah pastinya bersama orang-orang baik ( المحسنين) sehingga Dia membuka antara kita dan kaum kita di atas kebenaran.


Kalian akan mendengar pertubuhan/persatuan yang akan bercakap tentang kalian. Jika mereka bercakap tentang kebaikan kita, maka bersyukurlah dan jangan sekali-kali pujian itu menipu kalian daripada hakikat sebenar. Jika keburukan yang mereka wara-warakan maka maafkanlah mereka dan tunggulah sehingga masa menyingkapkan hakikat yang sebenar. Ingat! Jangan kalian membalas cercaan dengan cercaan sepertinya dan jangan kalian menghabiskan masa untuk menjawab persoalan yang mereka bangkitkan sehingga kalian lupa tugas sebenar kalian. Yakinlah bahawa hal tersebut tidak akan memesongkan kalian dan sekali-kali ia tidak akan memudharatkan kalian.


وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأمُورِ﴾ آل عمران: من الآية186)


Kalian akan mendengar bahawa pertubuhan/persatuan akan menuduh kalian mempunyai hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan yang tidak baik...jangan pedulikan itu semua dan jangan cuba menafi atau mengiakannya kerana mereka yang menuduh sepatutnya mendatangkan keterangan atas apa yang didakwa. Hal tersebut berlaku kerana satu antara dua perkara; sama ada yang menuduh itu bersungguh-sungguh dalam tuduhannya untuk mencari kepastian sehingga akhirnya mereka dapat mengetahui hakikat sebenar dakwah kalian sedang kalian sentiasa berhubung dengan Allah dan RasulNya saw dan kalian tidak bekerja melainkan untuk Islam dan umatnya. Atau sama ada mereka bukanlah bersungguh-sungguh sangat dalam tuduhan itu melainkan sekadar bermain-main dan berseronok mengumpat... semua ini tidak akan memudharatkan kalian sedikitpun... Biarkan mereka dengan kata-kata itu sekehendaknya, berdoalah kepada Allah swt agar kita dan mereka dikurniakan hidayah dan petunjuk..


Dan kalian akan mendengar bahawa ada orang yang ingin berhubung dengan kalian atau kalian akan berhubung dari kalangan awam. Sama ada mereka benar atau tidak benar. Saya ingin tegaskan kepada kalian sejelas-jelasnya bahawa dakwah kalian ini adalah semulia-mulia dakwah yang dikenali oleh manusia dan bahawa kalian adalah pewaris Rasulullah saw dan khulafa'nya berpandukan al-Quran, pemegang amanah syariatnya, penolongnya yang bersiap siaga untuk menghidupkan Islam di waktu hawa nafsu dan syahawat bermaharajalela dan lemahnya tanggungjawab... dakwah kalian mengandungi kebaikan semuanya dan yang lain tidak sejahtera dari kekurangan... Oleh itu teruskan perjuangan kalian, jangan sekali-kali kalian berkompromi di atas manhaj kalian, sebarkan dan bentangkan ia kepada manusia dengan rasa mulia dan kekuatan. Siapa yang hulurkan tangannya di atas asas dakwah kalian maka ahlan wa sahlan wa marhaban di dalam suasana terang seterang mentari di siang hari, jadilah dia ikhwah kalian yang bekerja bersama kalian, beriman dengan dengan keimanan kalian dan melaksanakan ta'alim kalian... barangsiapa yang enggan pasti Allah swt menggantikan mereka dengan kaum yang lain...


Wahai ikhwan sekalian, jangan gopoh kerana di hadapan kalian masa masih panjang dan kalian akan menjadi penting dan manusia akan mencari kalian. Sesungguhnya semua kemuliaan itu milik bagi Allah swt... dan mereka akan mengetahui tidak lama lagi...


Demikianlah sepatutnya pendirian kita terhadap pertubuhan/persatuan pada hemat saya. Kita mahu mereka memperolehi kebaikan dan kita memaafkan mereka, kita tidak akan menuntut dan kita tidak akan menjawab persoalan mereka....




Sumber:

Akhbar IM, Bil (1), tahun kelima, 11 Rabiul Awwal 1356H bersamaan 21 Mei 1937

.

Saturday, November 7, 2009

الإمام البنا يكتب: سبيل الظفر.. عبادة ثم قيادة



Demikianlah sepatutnya Ikhwan Muslimun


Saya bertemu seorang tua yang beruban yang sudah mula melangkah ke alam akhirat.. saya duduk bersamanya pada siang hari yang amat bermakna, di selubungi oleh kesucian rohani.. tampak jelas dari wajahnya dia seorang yang soleh, bertaqwa dan hatinya langsung berhubungan dengan Allah swt sekalipun dia tidak mendapat tempat di hati masyarakatnya..lalu saya berbual-bual dengannya.


Dia bertanya saya: 'Apa nama persatuan kamu?'


Saya menjawab: 'Sesungguhnya kami bukanlah persatuan, tetapi ikhwan -bersaudara- kerana Allah, kami bertemu di atas dasar aqidah dan fikrah dan berusaha untuk melaksanakannya di dalam diri kami, kemudian berusaha pula meyakinkan manusia lain... fikrah kami pula tidak lain melainkan untuk memahami Islam dan menyebarkannya kepada orang ramai!'.


Lalu dia menjawab: 'Cantik.. siapa yang mengajar kepada kalian di tempat kalian?'


Saya lalu menjawab: 'Kebiasaannya saya akan menyampaikan penerangan kepada ikhwan'.


Kemudian orang tua tadi terdiam seketika lantas melihat tepat kepadaku dan bertanya: 'Adakah kamu mengerjakan solat malam (qiamullail)?'.... Saya bertanyanya kembali..: 'Apa yang tuan harapkan dari jawapan saya terhadap soalan tuan? Sedangkan diri kita berada dalam genggaman Allah swt, sekiranya Dia mahu dibangunkan kita, begitulah sebaliknya sekiranya Dia mahu Dia boleh matikan kita.'


Orang tua tadi menjawab: 'Benarlah Allah dan RasulNya dan manusia itu amat gemar berbantah-bantah....'


Ya akhi, Sesungguhnya tarbiah diri, mensucikan jiwa serta memandu hati-hati, tidak akan diraih melalui lafaz-lafaz yang diulang-ulang, kaedah-kaedah yang diajarkan dan tidak dengan teori-teori yang disampaikan... kalaupun ia bermanafaat untuk akal dan ilmu, ia sebenarnya terpisah dari perasaan dan rohaniah, sedangkan manusia amat berhajat kepada kemurnian jiwa dan akhlak mulia. Mereka yang berusaha' mengislah' manusia melalui penulisan semata-mata adalah tertipu kerana ia tidak akan sampai kepada objektif yang diharapkan.


Ya akhi, tiada makna usaha 'pengislahan diri' yang dilaungkan melainkan melalui hanya satu jalan; jalan qudwah hasanah yang berhubungan langsung dengan Allah swt.. kurniaanNya. Qudwah yang dimaksudkan itu ialah ibadat di malam hari, qiamullail, munajat dinihari.. Baca dan dengarlah firman Allah swt:


يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (1) قُمْ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلاً (2) نِصْفَهُ أَوْ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً (3) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلْ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً (4) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً (5) إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلاً (6)المزمل



Ya akhi, orang yang tidak punyai apa-apa dia tidak akan mampu memberi... Hati yang terputus hubungan dengan Allah tidak mungkin boleh menghubungkan orang lain kepada Allah .Peniaga yang tidak mempunyai modal tidak akan mampu meraih keuntungan. Guru yang jahil tentang method pengajarannya tidak akan mampu mengajar orang lain. Orang yang lemah dalam memimpin dirinya sendiri tidak akan mampu memimpin orang lain. Alangkah berhajatnya kalian semua kepada jihad seumpama ini !!! Kalau kalian mampu membawa mereka yang berjanji setia denganmu untuk beramal dengan semua ini, maka ia merupakan kejayaan yang amat besar. Lihatlah para sahabat Radiallahuanhum adalah 'Rahbaanan Billail Wa Fursaanan Bin nahaar'... di malam hari mereka adalah ahli ibadat dan di siang hari mereka adalah pahlawan yang gagah berani di medan... kurang satu antara keduanya akan memberi kesan kepada yang satu lagi.


Berusahalah kamu untuk memperolehi bekalan di malam hari untuk perjalananmu di siang hari yang penuh dengan pelbagai cabaran.....


Kemudian orang tua itu meminta izin untuk beredar. Dia bangkit dan berjalan dengan tongkatnya meredah kesesekan manusia di jalan raya, sedang saya mengiringi pemergiannya dengan hati yang penuh insaf sehingga dia hilang dari pandangan.

Ya Ikhwan:

Mungkin kamu berasa hairan mengapa saya bawakan bicara sebegini di dada akhbar kamu ini sedang kamu menanti-nanti saya berbicara mengenai masalah yang melanda dunia, derita yang dialami oleh umat Islam seluruhnya. Kamu mengharapkan saya menyatakan sikap, pendirian dan tindakan yang patut diambil oleh jamaah kita.

Dengarkanlah penjelasanku:

Sesungguhnya kamu ingin mencapai matlamat yang besar dan hebat. Oleh itu kamu mesti memahami dengan sebenar-benarnya bahawa dengan matlamat itu bererti kamu berada di atas satu garisan dan dunia seluruhnya berada di atas garisan yang berlawanan dengan kamu.

Kamu menghendaki Islam berkuasa. Dunia diperintah oleh jiwa-jiwa yang bersih suci, akhlak mulia yang melimpah dengan kebaikan, hati-hati yang penuh rahmat dan kasih sayang dan kesejahteraan memayungi alam semesta.

Manusia pula menghendaki kebendaan berkuasa, harta melimpah ruah, kemewahan tiada sempadan, perebutan yang tiada berkesudahan antara golongan kuat dan lemah. Yang kuat memangsakan yang lemah. Yang berkuasa sentiasa menang dan yang diperintah sentiasa kalah. Kemanusiaan tidak akan kenal erti keadilan, tidak akan mengecapi rahmat kasih dan sayang. Itulah yang manusia kehendaki berbanding dengan apa yang kamu kehendaki. Kamu berada di satu pihak, sedang dunia di satu pihak yang lain. Manusia berselindung di sebalik kedustaan, berinteraksi dengan tipu helah dan bermuka-muka. Mereka lari daripada menghadapi kenyataan. Pada hal kamu tidak mahu itu semua kerana kamu sentiasa bermuraqabah. Diri kamu dan amalan kamu sentiasa diperhati oleh yang Maya Mengetahui dan Maha Memerhati. Maka perbezaan antara kamu dengan manusia, jika kamu benar dengan apa yang kamu cita-citakan, sangat jauh dari segala sudut.

Bilangan kamu adalah sedikit. Keadaan kamu tertindas di muka bumi ini, fakir dari segi harta, kosong dari segi kekuatan. Maka tidak ada senjata kamu selain hubungan dengan Allah dan mengharap pertolongan dan bantuan daripadaNya serta keimanan yang mendalam terhadapNya. Apabila aspek ini kamu kuasai bererti kamu telah kuasai segala-galanya. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Aali Imran:160)

Maka berusahalah untuk menjadi seperti itu. Jangan kamu tanya bagaimana? Sesungguhnya jalannya telah nyata. Jadilah kamu hamba-hamba sebelum kamu menjadi ketua. Dengan ibadah kamu akan jadi sebaik-baik qiadah. Awas! Jangan kamu terbalikkan isu ini sebagaimana yang dilakukan oleh manusia lain. Mereka mengejar kepimpinan sebelum mereka mensejahterakan aspek ibadah maka mereka tewas atau mereka berjaya mencapainya tetapi terumbang ambing di dalam melaksanakan amanahnya. Serapkan ke dalam diri kamu maksud Hadis Qudsi ini: ”Sesiapa yang menyakiti waliKu maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang dengannya. Seseorang hambaKu tidak menghampirkan diri kepadaKu dengan sesuatu sebagaimana ia menghampirkan diri dengan melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu itu menghampirkan dirinya kepadaKu dengan melakukan amalan-amalan yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya, kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta padaKu akan Ku berikannya, jika dia memohon perlindungan denganKu akan Ku lindunginya”. (Al-Bukhari)

Dan ingat juga firman Allah yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nur:55)

Daripada Pusaka al-Banaa, dipetik dari surat khabar Ikhwan Muslimin, 25 R.Awwal 1356H bersamaan 4 July 1937M.

Sunday, November 1, 2009

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?




Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.

Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra' Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah.."Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku."

** mengucapkan kata "ah" kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta'ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: "Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?" Nabi menjawab: "Solat dalam waktunya." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?". Nabi saw menjawab: "Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?" Nabi saw menjawab: "Berjihad fi sabilillah."

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan 'birrul walidaini' -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna 'birrul walidaini' dan 'ihsan' kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?" Rasulullah saw menjawab: "Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya."

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara', sama halnya 'birrul walidaini' bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: "Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: " Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu." (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: "Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?" Nabi saw menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Bapa kamu."

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan 'birrul walidaini' hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan 'ihsan' kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: "Adakah kedua ibubapamu masih hidup?" Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: "Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad." (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: "Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: "Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis."

Dalam riwayat yang lain lagi.... Nabi saw bersabda: "Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku."

9. Ulama' berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam 'birrul walidaini' ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa...

Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da'ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah 'Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan... Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh....

Sila rujuk - al-Jaami' Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.