Tuesday, February 3, 2009

Bagaimana Hidup Muslim Patut Diurus Agar 'Seimbang' ..

Mari kita teliti satu tulisan ringkas tetapi amat berguna untuk tatapan kita. Pengarang kitab kecil bernama Muhammad bin Hasan bin 'Aqil Musa berjudul التنازع والتوازن فى حياة المسلم telah menukilkan antara isinya:

Setiap peribadi muslim yang komited tentu menginginkan segala sesuatu yang berguna bagi kebaikan Agama Islam dan kemaslahatan ummah. Segala sesuatu yang dilakukan tercermin dalam bentuk aktiviti antara dirinya dengan Allah swt dan antara dirinya dengan masyarakat dari sudut yang lain.

Di sudut yang lain, majoriti kita secara umum cenderung untuk memenuhi tuntutan dunianya. Di sudut yang lain pula, sebahagian kita amat menitikberatkan akhiratnya. Bahkan ada pula di sana orang yang inginkan keseimbangan tuntutan dunia dan akhiratnya; kedua-duanya mahu diraih secara tawazun 'seimbang'.

Persoalannya ialah bahawa manusia ini memiliki keterbatasan-keterbatasan untuk mencapai keinginannya. Justeru, setiap peribadi muslim dituntut untuk berlaku tawazun 'seimbang' dalam mengaplikasikan keinginannya agar dia berjaya dalam hidupnya dengan baik dan saksama. Dia perlu merancang, mengatur dan melaksanakan serta membuat jadual urutan keutamaan pada setiap kegiatan hidup ini.

Merealisasikan TAWAZUN

Persoalan selanjutnya adalah; apakah mencari keseimbangan di antara berbagai tuntutan mampu dilaksanakan dalam realiti kehidupan? Atau, apakah hal itu hanya sekadar ucapan yang tidak berdasarkan pada asas ilmiyyah dan tidak diikat oleh kaedah-kaedah?

Untuk menjawab persoalan tersebut kita perlu melihatnya dari dua aspek. Pertama, apakah fenomena keseimbangan dalam berbagai tuntutan beramal pernah terjadi pada zaman salafus soleh dan generasi selepas mereka? Kedua, mungkinkah hal itu mampu dipraktikkan pada zaman kita sekarang?

Rasulullah saw adalah peribadi terbaik sebagai model atas perlaksanaan keseimbangan tersebut. Baginda adalah orang yang memiliki keimanan yang kuat. Baginda adalah yang terbaik dalam hal ini. Baginda adalah pemimpin dan ahli ibadah yang zuhud, ahli strategi perang yang sangat berani, panglima yang gigih, teguh dan agung. Di sudut kekeluargaan, baginda adalah sebaik-baik pemimpin keluarga sekaligus guru yang baik terhadap isteri, anak-anak maupun seluruh kaum keluarga. Demikianlah peribadi Rasulullah saw. (keterangan lanjut boleh didapati dalam Ibnul Qoyyim Al-Jauziyyah- Zaadul Ma'aad dan Al-Mubarokfuuri - Ar-rohiqul Makhtum).

wallahu a'lam semoga bermanafaat untuk kita semua...



No comments: