Tuesday, March 31, 2009

JIKA ANDA INGIN MENJALIN HUBUNGAN DENGAN ALLAH, PERBAHARUILAH TAUBAT (3)



Wahai akhi, ini semua tidak akan terjadi kerana dia senantiasa membawa semangat bertaubat. Kerana itulah, wahyu berikut diturunkan: "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyung-duyung. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat." (An-Nashr: 1-3)

Ketika solat, dalam ruku' dan sujud baginda membaca:

سبحانك اللهم ربنا وبحمدك اللهم اغفرلي

"Maha suci Allah, dan dengan memuji-Mu maka ampunilah aku."

Baginda saw. juga pernah bersabda:

يا أيها الناس توبوا إلى الله, والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة

"Wahai manusia ! Bertaubatlah kepada Allah. Demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali."

Bekal dan senjatamu untuk mencegah kejahatan dan memerangi syaitan adalah taubat. Jika anda berpegang teguh dengannya, anda akan meningkat dari tingkatan orang-orang yang lalai kepada tingkatan orang-orang yang ingat dan termasuk di dalam lindunganNya.
"Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagi kalian terhadap mereka." (Al-Hijr: 42)

Apakah taubat itu dan bagaimana kita patut bertaubat?

Taubat adalah pintu masuk dan pelita yang menerangi jalan anda menuju Allah. Dia telah memerintah, melarang dan memperingatkanmu.

Langkah pertama: Hendaklah anda menyedari bahawa anda telah melakukan kelalaian dan kesalahan, serta telah menyia-nyiakan kewajiban terhadap Allah swt. Anda orang yang paling tahu tentang diri anda sendiri, sedangkan Allah lebih tahu tentang diri anda daripada anda sendiri. Sedarilah bahawa anda makhluk yang lemah, sedangkan Allah swt Maha Kuat; anda adalah pihak yang memerlukan, sedangkan Allah swt pemilik kurnia; anda pelaku dosa, sedangkan Allah swt Yang Benar.

Dosa ini akan menjauhkan anda dariNya serta akan memindahkan anda dari daftar hamba-hamba Allah yang muqarrabin (didekatkan kepada Allah) ke daftar para mudznibin (pelaku dosa); dari daftar para mahbubin (orang yang dicintai) ke daftar para mahquqin (orang dimurkai); dari daftar para muhsinin (orang yang berbuat baik) ke daftar para musi'in (orang yang berbuat jahat). Jika anda mengingat semua itu, akan datanglah penyesalan, barangkali sampai menangis. Rasulullah saw bersabda:

طوبي لمن بكت عيناه من خشية الله

"Beruntunglah orang yang matanya menangis kerana takut kepada Allah."

Alangkah beruntung dan berbahagianya anda. Allah juga bergembira melihat taubat ini, sebagaimana seorang ibu bergembira ketika menjenguk anaknya. Suatu ketika seorang wanita berlalu di hadapan Rasulullah saw, sedangkan anaknya berada di tangannya. Nabi saw bersabda:

أترون هذه طارحة ولدها في النار؟ قلنا لا, وهي تقدر علي أن لا تطرحه فقال : الله أرحم بعباده من هذه بولدها

"Apakah kamu semua berfikir bahawa wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Mereka (para sahabat) menjawab: Tentu tidak, wahai Rasulullah saw." Baginda bersabda lagi: "Kasih sayang Allah kepada orang-orang mukmin lebih besar daripada kasih sayang wanita ini kepada anaknya."

Perasaan, kesedaran, penyesalan, tekad dan keinginan; itulah taubat sejati. Dalam hadis disebutkan bahawa: "Taubat adalah tekad." Hadis ini menyebutkan bahagian pertengahan, iaitu tekad kerana tekad itu muncul dari kesedaran dan penyesalan dan akan melahirkan kehendak. Maka Rasulullah saw jadikannya sebagai rukun yang paling kuat.

Wahai akhi, anda akan dapati masalah taubat di banyak surah di dalam al-Quran. Anda akan dapati ia disebut bermula dari Surah al-Baqarah sampai ke Surah an-Nashr.

Dalam Surah al-Baqarah anda akan bertemu dengan firmanNya: "Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah: 37)

Allah permudahkan bagi umat Muhammad saw untuk bertaubat....

Firmannya: "Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah diri kamu. Hal itu adalah lebih baik bagi kamu di sisi Tuhan yang menjadikan kamu. Maka Allah akan menerima taubat kamu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah: 54)

Dalam ketentuan umat-umat terdahulu, untuk bertaubat mesti ada korban. Adapun anda, cukup bertaubat dengan gerakan hati dan perasaan. "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)

Anda boleh merujuk pada ayat-ayat berikut: Ali-Imran: 135-136, An-Nisa': 17, Al-Maidah: 39, At-Taubah: 117, At-Tahrim: 8, An-Nashr: 3, Al-Baqarah: 222.

Mohonlah pertolongan Allah untuk menjadikan kita orang yang gemar kepada taubat...

Jika Allah tidak menghendaki anda bertaubat, nescaya Dia tidak akan mengilhamkan kepada anda untuk bertaubat. Jika anda kembali kepada Allah dengan bertaubat, maka itu merupakan petunjuk bahawa Dia mencintai anda. "Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya." (At-Taubah: 118)

Dalam doa sayyidul istighfar, Rasulullah saw berdoa:

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menciptakan diriku, sedangkan aku adalah hamba-Mu dan aku berada di atas perjanjian-Mu sehabis kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat yang Engkau limpahkan kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."

Nabi saw pernah bersabda: "Barangsiapa mengucapkannya pada pagi hari dengan penuh keyakinan, kemudian pada malam harinya meninggal dunia, nescaya dia masuk syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada petang hari dengan penuh keyakinan, kemudian pada siang hari itu dia meninggal dunia, maka dia masuk syurga."

Semoga solawat dan salam dilimpahkan kepada Sayyidina Muhammad, juga kepada segenap keluarga dan para sahabatnya.






No comments: