Thursday, March 6, 2014

Mari membaca_sehari satu buku....

Buku Mengenali Imam Asy-Syafi'i ditulis secara ringkas bagi memudahkan ia dibaca dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat.


UMAR bergambar bersama empat judul buku yang telah dihasilkannya setakat ini.


MALAYSIA merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan mazhab fiqah Muhammad bin Idris al-Syafii atau juga dikenali sebagai Imam al-Syafie.

Walaupun demikian, masih ramai pengikut mazhab tersebut di negara ini masih belum mengenali beliau dengan lebih dekat.

Situasi itu menyebabkan anak kelahiran Betawi, Indonesia, Ustaz Umar Muhammad Noor, 36, terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku berkaitan imam tersebut.

"Saya mendapat ilham untuk menulis buku ini setelah mendapati ramai umat Islam di negara ini masih belum mengenali Imam al-Syafie dengan lebih mendalam," katanya ketika ditemui Kosmo! di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku berjudul Mengenali Imam Asy-Syafi'i itu menceritakan kisah Imam al-Syafie sejak beliau dilahirkan sehingga dibesarkan dalam dunia keilmuan dan diiktiraf sebagai seorang mujtahid mutlak.

Selain itu, buku berharga RM14 itu turut menyelitkan serba sedikit kisah isteri dan anak-anak beliau.

"Penampilan dan sifat Imam Syafi asy-Syafi'i yang penuh teladan serta kata-kata beliau yang penuh hikmah sesuai dijadikan pedoman kepada masyarakat Islam hari ini.

"Buku ini juga menceritakan kemahiran beliau dalam ilmu-ilmu keislaman, mentafsir al-Quran, hadis dan akidah," katanya sambil memaklumkan bahawa buku yang berada di pasaran sejak Mac tahun lalu itu telah disiapkan dalam tempoh empat bulan sahaja.

Tambah Umar, buku setebal 112 muka surat itu ditulis secara ringkas bagi memudahkan ia dibaca dan difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pengalaman

Sementara itu, bercerita mengenai bidang penulisan, Umar memaklumkan, dia mula aktif menulis ketika menuntut di Universiti Islam Omm Durman, Syria dalam bidang sunah dan hadis.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata tersebut, ketika itu karya-karya yang dihasilkan kebanyakannya berbentuk keislaman dan dimuatkan dalam majalah universiti.

"Waktu itu saya banyak menghasilkan artikel-artikel mengenai Islam dalam bahasa Arab yang merupakan bahasa pengantar di sana.

"Selepas beberapa tahun menyumbang karya, saya dilantik menjadi editor untuk majalah tersebut," katanya yang menuntut di Syria selama lebih enam tahun.

Selepas tamat pengajian pada tahun 2008, beliau berhijrah ke Singapura dan bertugas sebagai Imam Eksekutif di sebuah masjid di negara berkenaan selama tiga tahun.

Ketika di Singapura, Umar sempat berkenalan dengan Ustaz Zahzan Muhammad yang merupakan Pengarah Urusan di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

"Hasil pengenalan tersebut saya ditawarkan jawatan sebagai Ketua Editor majalah Al-Ustaz yang merupakan salah satu penerbitan Telaga Biru.

"Disebabkan minat mendalam dalam bidang penulisan, saya menerima tawaran itu dan berhijrah ke Malaysia," ujarnya lagi.

Walaupun sibuk dengan rutin harian, Umar sempat menyiapkan empat buah buku iaitu Takwil Hadis, Komsas Umat Akhir Zaman, Rusul Mulia Umat Mulia Akhlak Mulia dan Mengenali Imam Al- Syafie.

Mengulas mengenai karya terbaharu, beliau memaklumkan sedang giat menyiapkan manuskrip sebuah buku yang akan diterbitkan pada tahun ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2vBAzzrxc 
Hakcipta terpelihara 

No comments: