Wednesday, May 7, 2014

Berhijrahlah Penjaja Kebencian

MAY 07, 2014
Penulis – Rozhan Othman
Bagaimanakah perasaan anda bila Pravin Togadia, seorang pemimpin VHP, sebuah parti ekstermis di India, menyeru penyokongnya menghalau orang Islam yang membeli rumah di kawasan kejiranan yang majoritinya penduduk Hindu?
Apakah sikap anda terhadap pergerakan Ku Klux Klan yang cuba menghalau orang-orang kulit hitam melalui ancaman dan ugutan? Bagaimana pula dengan reaksi anda kepada saranan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, bahawa rakyat Palestine patut dipecat dan dihalau ke Jordan?
Bagaimana pula pendirian anda dengan kempen Marine Le Pen pemimpin National Front di Perancis yang mendakwa pendatang Arab ke Perancis kini menakluk negara itu dan menggesa mereka dihantar pulang ke negara mereka?
Jika anda berasa semua pendirian ini melampau dan harus ditentang,  sentimen yang sama juga diutarakan oleh kumpulan ekstremis di Malaysia.  Penjaja-penjaja kebencian di Malaysia pada dasarnya tidak banyak berbeza daripada pemimpin ekstremis VHP, Ku Klux Klan, Avgidor Lieberman dan Marine Le Pen.
Jika Ku Klux Klan menggunakan salib sebagai simbol pergerakan itu, penjaja kebencian di Malaysia menggunakan Islam dan dakwah sebagai topeng ketika mengenengahkan agenda perkauman mereka.
Yang nyata, mereka ini semua adalah penjaja kebencian dan sebenarnya terpesong daripada ajaran Islam.  Namun, mereka sedar menonjolkan diri sebagai jaguh kaum dan menjaja kebencian berpotensi memberi keuntungan untuk diri mereka. Ada suratkhabar yang turut menjadi penjaja kebencian dan tidak pula dikenakan tindakan. Namun, syarikat-syarikat GLC disuruh lebih banyak memberikan iklan kepada surat khabar ini.
Bagi tokoh-tokoh kebencian ini, mungkin mereka mengharapkan penajaan wang seperti yang diberi sebuah badan kerajaan kepada sebuah NGO penjaja kebencian lain. Mereka mungkin berharap untuk  dijadikan senator atau diberi darjah kebesaran. Kebenaran tidak penting, yang penting ialah menjadi instrumen politik puak tertentu dalam mengapi-apikan sentimen perkauman. Islam pun tidak penting. Hanya guna Islam, tidak perlu hayati Islam.
Satu sifat penjaja-penjaja kebencian ini ialah mereka amat berekonomi dalam menyatakan fakta.  Kenyataan mereka lebih mendedahkan kejahilan mereka serta pemikiran sempit dan sonsang mereka. Walaupun mengguna identiti Islam, keIslaman mereka sama tulen dengan “keKristianan” Ku Klux Klan.  Hujah-hujah dan pandangan yang mereka kemukakan sama cetek dan tipis sepetimana cetek dan tipisnya keIslaman mereka.
Perhatikan kenyataan  seorang penjaja kebencian, “Orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh. ..Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini?...Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina menindas dan membuli orang Melayu,”
Nyata sekali di sini penjaja kebencian ini jahil mengenai sejarah. Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu telah bermula sebelum kedatangan British ke Asia Tenggara lagi. Rekod sejarah menunjukkan  lebih 50% penduduk pekan  Kuala Terengganu pada pertengahan tahun 1600han adalah berbangsa Cina. 
Mereka hidup damai dan tidak bersengketa dengan orang Melayu.  Demikian juga, penjaja kebencian ini nampaknya lupa akan kedatangan orang Cina yang kemudiannya menjadi masyarakat Peranakan di Melaka. Mereka tiba ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Puteri Hang Li Po, seorang puteri Cina, menjadi isteri kepada Sultan Mansor Shah. 
Penjaja-penjaja kebencian ini juga lupa atau sengaja melupakan bahawa pembabitan orang Cina dalam industri tertentu seperti perjudian dan pembuatan bir adalah kerana lesen yang diberi pemimpin Melayu, bukan British. Dan ada di antara syarikat-syarikat ini dipengerusikan oleh orang Melayu, bukan British.
Sejarah Islam menunjukkan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ialah membina keharmonian di antara kaum dan agama yang berbeza. Inilah yang berlaku di Madinah selepas hijrah di mana orang-orang bukan Islam, termasuk orang-orang Yahudi, hidup bersama-sama dalam masyarakat Islam.
Ini semua dilakukan dalam semangat menghayati Islam sebagai rahmatan lil `alamin (rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk orang Melayu sahaja) dan li ta`arufu (saling berkenalan dengan kaum-kaum yang berbeza).
Walaupun catitan hadith dan Quran menunjukkan ada orang bukan Islam di Madinah dari masa ke semasa mempersoalkan kebenaran Islam dan kenabian Rasulullah.. Baginda tidak pula mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya baginda berhujah dengan mereka atau memberi jawapan daripada wahyu.  Puak Yahudi diusir hanya setelah mereka menyebelahi pihak musuh yang mengepung Madinah semasa perang Khandaq.
Sikap matang dan terbuka ini turut ditunjukkan oleh para sahabat. Saidina Ali ketika menjadi khalifah sering dikritik dan dicerca oleh golongan Khawarij.  Satu amalan mereka ialah mereka akan beratur di sepanjang laluan dari rumah Saidina Ali ke masjid.
Pada setiap waktu salat, mereka akan memaki dan mencerca Saidina Ali bila beliau berjalan ke masjid. Sahabat lain pernah bertanya kepada beliau kenapa tidak memerangi mereka sahaja. Sebagai seorang khalifah dia boleh menangkap kesemua mereka dan menghumban mereka ke penjara. Dia juga boleh mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya, Saidina Ali berkata “Kita lawan serangan lisan dengan lisan.”
Jika  penjaja kebencian hari ini hidup pada zaman Sultan Mansor Shah, barangkali mereka akan menggesa Sultan Mansor menghalau Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po dari Melaka.
Bagaimana agaknya reaksi Maharaja Cina jika ini berlaku? Jika rakyat Malaysia yang bukan Islam semua berhijrah keluar dari Malaysia hari ini, kepada siapakah agaknya NGO Islam yang digunakan penjaja-penjaja kebencian ini, yang menggunakan identiti sebagai pendakwah, akan berdakwah.
Dan bagaimanakah pula dengan orang Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak? Haruskah Sabah dan Sarawak dipecat keluar dari Malaysia?
Jika kita benar-benar menggunakan neraca Islam untuk menilai kenyataan-kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini, nyata sekali mereka ini menyimpang jauh daripada Islam. Dan nyata sekali tindak-tanduk mereka jauh dari contoh yang ditunjukkan Saidina Ali. 
Sukar nak katakan mereka ini jahil kerana mereka ini nampak terdidik. Mungkin inilah yang dikatakan perbezaan diantara orang yang mendapat kelulusan akademik dengan mereka yang mempunyai hikmah. Mungkin juga mereka ini tidak yakin dengan diri sendiri dan mengalami “inferiority complex” dan menganggap menjaja kebencian sebagai jalan pintas ke kemahsyuran.
Hari ini Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa seorang penjaja kebencian ini akan disiasat di bawah Akta Hasutan. Sebelum ini polis pernah juga menyiasat seorang lagi penjaja kebencian dari firqah yang sama di bawah Akta Hasutan. 
Sebelum itu, seorang penjaja kebencian dari sebuah NGO turut disiasat polis kerana  beliau menggesa agar dibakar kitab Injil. Namun, hasil siasatan-siasatan ini mendapati mereka ini tidak bersalah dan tidak dikenakan tindakan. 
Barangkali hasil siasatan polis kali ini pun tidak akan berbeza. Pada saya,  sebagai rakyat yang membayar cukai, saya tidak mahu wang cukai saya dibazirkan dengan siasatan yang tidak membuahkan hasil. Dan jika seorang penjaja kebencian didapati telah melakukan kesalahan, saya tidak redha wang cukai saya digunakan untuk menyara makan-minum beliau dipenjara.
Saya lebih suka penjaja-penjaja kebencian ini ditewaskan di medan hujjah. Kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini adalah satu fasad. Saya ingin melihat pemimpin dan cendikiawan Islam tampil menentang kefasadan ini secara ilmiah.
Menyerulah kepada yang ma’aruf dan benteraslah kefasadan penjaja-penjaja kebencian ini melalui jihad lisan. Ini adalah sebahagian dari mencegah mungkar dengan mulut kita.
Kepada penjaja-penjaja kebencian, jika mereka tidak boleh menerima kemajmukan masyarakat Malaysia dan menganggap sebarang perbezaan pendapat sebagai kedurjanaan, eloklah mereka berhijrah ke luar Malaysia. 
Pergilah ke negara yang tiada kemajmukan dan tidak menerima perbezaan pendapat. Mereka semua akan bahagia di sana. Barangkali tahap intelek dan sikap penjaja-penjaja kebencian ini sangat sesuai dengan kehidupan di Korea Utara. 
Kim Jong Un akan menghargai orang seperti mereka. Dari sana, mereka bolehlah menjalinkan hubungan dan ikatan dengan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan sikap yang sama seperti mereka, kumpulan-kumpulan seperti Ku Klux Klan di Amerika, VHP di India dan National Front di Perancis. – 7 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: