Wednesday, May 14, 2014

Pembinaan bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan – Siddiq Fadzil

Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.
Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamik kemajuan.
Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan. Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur.
Kebinekaan atau keragaman budaya tidak menjadi masalah, andainya ia diletakkan dalam bingkai kebinekaan atau kesatuan.
Formula kepelbagaian dalam kesatuan Adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu 'Lah.
Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr Muhammad `Imarah dalam bukunya, “al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah” (Islam dan Pluralisme: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).
Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan – keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya; kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya; kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya; kesatuan syari`at dengan kepelbagaian fiqh, mazhab dan ijtihadnya.
Fitrah sunnatu 'Lah berupa kepelbagaian dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya Lewat Sahifah tersebut Rasulullah s.a.w. membentuk ummah: ummah diniyyah (umat keagamaan) dan ummah siyasiyyah (umat politik).
Ummah diniyyah bersifat eksklusif dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min duni 'n-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi (wa anna Yahuda Bani `Awf ummatun ma`a 'l- Mu'minin).
Kata kunci dalam ungkapan pembentukan ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah).
Ungkapan ma`a al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin), bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam, tetapi menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah bersama dengan umat Islam.
Peruntukan dalam Sahifah tersebut jelas memberikan status kewarganegaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) kepada masyarakat Yahudi.
Sebagai warga umat dan negara Madinah status, hak dan tanggungjawab mereka sama dengan umat Islam. Mereka bukan warganegara kelas dua.
Persamaan hak dan tanggungjawab tersebut dicatat dengan ungkapan li al-Yahud dinuhum wa li al-Muslimin dinuhum (Yahudi dengan agama mereka, dan kaum Mukminin dengan agama mereka).
Ertinya perlembagaan ini memberikan hak kebebasan beragama dan membenarkan para penganut pelbagai agama mengamalkan agama masing-masing dan mengekalkan jati diri keagamaan masing-masing.
Persamaan tanggungjawab pula dicatat dengan ungkapan wa anna al-Yahuda yunfiquna ma`a al-Mu'minin madamu muharibin (masyarakat Yahudi dan kaum Mukminin sama-sama membiayai peperangan apabila negara Madinah diserang).
Hak dan tanggungjawab yang sama juga diberikan kepada kabilah-kabilah Arab yang ikut menjadi warga Sahifah Madinah.
Persamaan hak dan tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim itulah yang kemudiannya terumus dalam prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul).
Demikianlah antara yang tercermin dalam Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan Islami yang disemangati kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).
Dhimmiy atau warganegara?
Terdapat anggapan bahawa Sahifah Madinah tidak dapat dijadikan model sebuah negara yang moden, lengkap dan terperinci.
Memang perlembagaan nabawi tersebut tidak digubal untuk tujuan itu. Bagaimanapun ia tetap relevan sebagai contoh penterjemahan prinsip dan nilai kenegaraan al-Quran ke dalam bentuk sebuah perlembagaan sesuai dengan realiti zaman dan lingkungan.
Yang perlu dilihat bukan rinciannya, tetapi prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasarnya. Dengan demikian Sahifah Madinah tetap relevan sebagai acuan menangani masalah pluralisme masyarakat, termasuk isu persamaan status, hak dan tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim.
Perlembagaan nabawi itulah yang menjadi rujukan Dr Fathi Osman ketika membahaskan isu tanggungjawab warga bukan Muslim dalam pertahanan negara.
Katanya, "The military service may have some religious character for Muslims, but it meanwhile signifies national defence for non-Muslims. Non-Muslims were allowed to share with Muslims the responsibility of defending Medina in the Prophet's Constitutional document which he drew up just after his migration there. This did not particularly work, but it cannot affect the validity of the principle." (Fathi Osman, 2002:153).
Tentunya dari semangat Sahifah Madinah jugalah beliau mendapat keberanian mendukung prinsip persamaan penuh (full equality) Muslim dengan bukan Muslim dari segi hak dan tanggungjawab.
“I do not think Muslims have any legal problem with regards to full equality with non-Muslims in rights and obligations. What emerged as the status of "dhimmis" (non-Muslims within the Muslim state) was historically developed rather than built in the permanent laws of the Quran and Sunnah.
“Many scholars, including the Westerners, admit that the status of non-Muslims in the Muslim world during the Middle Ages, was better than what the Jews or other religious minorities received in the Christian countries in those ages.
“The important question is: Are Muslims now ready to go further to secure and sanction full equality for the non-Muslim with them in a contemporary Islamic state?
“When reservations and "if's" and "but's" are raised, how can Muslims expect that non-Muslims would be convinced of, or be loyal to, the concept of Islamic state, while they are offered full equality without reservations in a secular democracy?” (Fathi Osman, 2002:152).
Perbincangan tentang kewarganegaraan orang bukan-Islam selalu dikaitkan dengan status dhimmiy yang terkesan tidak disenangi oleh masyarakat bukan Islam.
Sebenarnya ramai ulama dan sarjana Muslim yang menganggap pengkategorian tersebut sudah tidak relevan lagi. Status dhimmiy pada hakikatnya tidak membawa pengertian negatif warganegara kelas dua. Ia lebih membawa makna jaminan umat Islam untuk melindungi warga bukan-Islam dari sebarang bentuk penindasan.
Bagaimanapun dari segi hukum fiqh tidak ada halangan menggugurkan istilah dhimmiyyun untuk digantikan dengan istilah muwatinun.
Dr Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa para fuqaha' silam umumnya menganggap kaum dhimmiy sebagai ahl al-dar (warga negara Islam) yang bererti mereka bukan orang asing.
Jika demikian mereka sebenarnya adalah ahl al-watan dan seharusnya disebut muwatinun sama seperti warga Muslim.
Seterusnya al-Qaradawiy menyarankan agar istilah- istilah tertentu dalam sejarah masa lalu seperti dhimmah dan ahl dhimmah dipadam sahaja dari kamus masa kini kerana tidak lagi dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam.
Beliau berhujah bahawa Khalifah `Umar ibn al-Khattab r.`a. bersetuju memadam istilah yang lebih penting iaitu jizyah apabila kaum Nasrani Bani Taghlib meminta agar ia digantikan dengan istilah sadaqah. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 2010:40- 42).
Dari segi realitinya status dhimmiy sudah tidak ada sejak abad 19 (zaman Turki `Uthmani). Mengenai fakta ini Al Ghunaimi menyebut, "When Sultan Abdel Majid issued the Khatti-Sherif of Gulhane, in 1839, proclaiming the principal of equality between the Muslims and the Christians, the classical legal status of the dhimmis, presumably, was to disappear." (Al Ghunaimi, Mohammad Talaat, 1968:213). – 14 Mei, 2014.
* Datuk Dr Siddiq Fadzil adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: