Friday, June 13, 2014

Kesimpulan isu Istihalah Khinzir_ menarik

Posted on Friday, June 13 @ 12:46:55 MYT 

PendapatADA yang bertanya, setelah diketahui pandangan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwas and Research), Persidangan Fiqh Eropah, dan Persidangan Fikah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain tidak mengharamkan istihalah khinzir yang terdapat bahan perubatan, makanan dan gunaan yang lain.

Sementara itu, Majma’ al-Fiqh al-Islamiy berpusat di Jeddah pada keputusan 1986 dan sebahagian pembesar ulama Arab Saudi mengharamkan gelatin khinzir yang terdapat dalam bahan perubatan dan makanan, apakah pendirian yang wajar diambil?

Rumusan saya seperti berikut:

1. Pada asasnya, istihalah adalah menukar sesuatu bahan najis kepada bahan yang lain seperti bangkai kepada abu, mayat yang sudah menjadi tanah, arak kepada cuka, baja najis kepada pokok yang subur dan seumpamanya diiktiraf dalam fikah Islam sejak dahulu. Cumanya, ada mazhab yang menyempitkan asas istihalah ini seperti Syafi’yyah dan Hanabilah (Hanbali).

Ada pula yang meluaskannya seperti Hanafiyyah dan Zahiriyyah juga Malikiyyah. Tokoh muhaqqiqin (penganalisis) seperti al-Imam Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Syaukani, Sadiq Hasan Khan dan lain-lain menyokong dan meneguhkan hujah proses istihalah boleh menukar najis kepada bahan bersih.

2. Antara dalil disebut fuqaha dalam istihalah ialah hadis Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik hidangan adalah cuka.” (Riwayat Muslim)

Cuka berasal daripada arak yang berubah secara istihalah. Ada pun hadis yang melarang menjadi arak itu cuka ditakwilkan sebagai larangan di peringkat awal pengharaman arak bertujuan menghapuskan habis-habisan termasuk memecahkan bekas arak.

Pada hal bekas tersebut boleh digunakan jika dibersihkan. Namun, itu pendekatan di peringkat awal pengharaman.

Nabi  Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik wangian adalah kasturi” (Riwayat Muslim) sedangkan kasturi berasal daripada darah kijang yang bertukar menjadi wangian.

Bangkai, darah dan daging khinzir diharamkan dalam al-Quran. Namun, kasturi berasal daripada darah dibenarkan kerana bertukar sifat.

Terdapat lagi dalil lain daripada naqli (nas) dan aqli (lojik) yang dipakai dalam masalah ini.

3. Disebabkan umat Islam tidak menjadi pengeluar, kita asyik menjadi pengguna, bahan berasal khinzir tersebar begitu luas dalam pelbagai aspek kehidupan manusia seperti makanan, perubatan dan bahan kecantikan.
Kehidupan manusia, termasuk umat Islam terpaksa berkait dengan bahan berasal daripada sumber haram. Fatwa dalam hal ini sudah pasti diperlukan

4. Fatwa tentang hal ini dikeluarkan ulama termasuk yang membabit isu istihalah. Berikut kesimpulan fatwa Majlis Fatwa Eropah mengizinkan bahan berasal haram tapi berubah melalui proses. Begitu juga alkohol sedikit dalam makanan tertentu yang tiada kesan.

Hukum syariah

Fatwa (34) - Soalan: Bahan daripada sebahagian makanan mengandungi item yang ditandai huruf  "E' dan nombor. Kami diberitahu item tersebut dihasilkan daripada lemak dan tulang babi.
Jika perkara ini betul, apakah hukum syariah terhadap makanan sedemikian.

A) Item membawa huruf “E” dan rentetan nombor adalah bahan tambahan. Aditif mempunyai lebih 350 sebatian dan ia mungkin dalam bahan pengawet, pewarna, perasa dan pemanis.

Aditif dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sumbernya:
Pertama: Sebatian asal kimia tiruan
Kedua: Sebatian asal tanaman.
Ketiga: Sebatian asal haiwan
Keempat: Sebatian larutan dalam alkohol

Yang berkuatkuasa pada semua sebatian adalah mereka tidak menjejaskan status makanan ini menjadi halal seperti berikut:

Kumpulan pertama dan kedua adalah halal kerana ia berasal daripada bahan yang dibenarkan dan tidak membahayakan daripada menggunakan item tersebut.

Kumpulan ketiga juga halal, kerana asal haiwan tidak sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan tulen melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan hukum mengenai bahan tersebut.

Oleh itu, jika bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia berubah kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah berubah kepada cuka, maka ia tidak kekal haram, tetapi membawa ketetapan baru mengikut jenis produk baru, iaitu halal.

Bagi kumpulan keempat, item ini biasanya pewarna dan digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit, yang larut dalam bentuk produk akhir, yang difikirkan satu perkara dimaafkan.

Oleh itu, apa-apa makanan atau minuman yang mengandungi mana-mana bahan ini masih halal dan dibenarkan untuk kegunaan orang Islam.

Kita juga perlu ingat bahawa agama kita adalah agama mudah dan kita telah dilarang daripada membuat perkara yang menyusahkan.

Lebih-lebih lagi, mencari dan menyiasat perkara itu tidaklah seperti apa yang ALLAH SWT atau Rasul-Nya memerintahkan kita  untuk lakukan.

Iktiraf khilaf fikah

Anggota Majlis Fatwa Eropah terdiri daripada: Professor Yusuf Al-Qaradawi, Presiden  ECFR (Mesir, Qatar), Hakim Sheikh Faisal Maulawi, Naib Presiden (Lebanon),  Sheikh Hussein Mohammed Halawa, Setiausaha Agung (Ireland), Sheikh Dr Ahmad

Jaballah (Perancis), Sheikh Dr Ahmed Ali Al-Imam (Sudan), Sheikh Mufti Ismail Kashoulfi (UK), Ustadh Ahmed Kadhem Al-Rawi (UK) dan Sheikh Ounis Qurqah (Perancis).

Sheikh Rashid Al-Ghanouchi (UK), Sheikh Dr Abdullah Ibn Bayya (Arab Saudi), Sheikh Abdul Raheem Al-Taweel (Sepanyol), Judge Sheikh Abdullah Ibn Ali Salem (Mauritania), Sheikh Abdullah Ibn Yusuf Al-Judai, (UK), Sheikh Abdul Majeed Al-Najjar,

Sheikh Abdullah ibn Sulayman Al-Manee’ (Arab Saudi), Sheikh Dr. Abdul Sattar Abu Ghudda (Arab Saudi), Sheikh Dr. Ajeel Al-Nashmi (Kuwait), Sheikh Al-Arabi Al-Bichri (Perancis), Sheikh Dr. Issam Al-Bashir (Sudan) dan Sheikh Ali Qaradaghi (Qatar),

Sheikh Dr. Suhaib Hasan Ahmed (UK), Sheikh Tahir Mahdi (Perancis), Sheikh Mahboub-ul-Rahman (Norway), Sheikh Muhammed Taqi Othmani (Pakistan).

Sheikh Muhammed Siddique (Jerman), Sheikh Muhammed Ali Saleh Al-Mansour (UAE), Sheikh Dr. Muhammed Al-Hawari (Jerman), Sheikh Mahumoud Mujahed (Belgium), Sheikh Dr. Mustafa Ciric (Bosnia), Sheikh Nihad Abdul Quddous Ciftci (Jerman),

Sheikh Dr. Naser Ibn Abdullah Al-Mayman (Arab Saudi) serta Sheikh Yusf Ibram (Switzerland).

5. Walaupun golongan ulama bersetuju pada asasnya proses istihalah itu, mereka kadang-kala berkhilaf pendapat tentang apakah sesuatu proses itu benar-benar merubah sifat bahan-bahan najis itu atau pun tidak. Ada bahan yang diyakini telah berubah, ada yang diandaikan tidak.

Dalam soal gelatin babi umpamanya, sarjana fikah masa kini berfatwa berdasarkan kepada taklimat saintis kepada mereka.

Kadang-kala berlaku khilaf. Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah tadi yang terdiri daripada tokoh Islam dari Arab dan ulama Islam yang menetap di Eropah, begitu juga Persidangan Fiqh Eropah dan beberapa orang tokoh ilmuwan Islam antarabangsa menganggap telah berlaku istihalah.

Sementara sebahagian ilmuwan pula menganggap proses istihalah bagi gelatin itu tidak sempurna. Maka, jadilah isu gelatin di sudut itu perkara yang syubhah.

6. Sesiapa yang mengelakkan sesuatu yang syubhah -sekali pun tidak sampai ke peringkat haram- merupakan perkara yang baik untuk diri dan agamanya. Namun, dia tidak boleh berkeras mengharamkan untuk umat Islam yang lain yang mempunyai pandangan yang berbeza.

Dalam soal makan-minum, perubatan, pakaian, perhiasan, kebudayaan setiap pihak mesti mengakui keluasan fikah Islam dan mengiktiraf khilaf fikah yang berasaskan hujah.

Tidak boleh hina-menghina dan bermusuhan dalam persoalan amalan peribadi yang seperti ini selagi semua pihak beramal atas dalil yang diyakininya.

7. Selagi, umat Islam mempunyai sumber yang pasti halal, mereka sepatutnya mengelakkan sumber yang syubhah.

Di Malaysia umpamanya, gelatin halal wujud dan boleh didapati, maka memulaukan yang syubhah dapat menggalakkan industri halal.

8. Umat Islam hendaklah berusaha menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

Kelemahan industri umat Islam adalah punca berleluasanya bahan yang syubhah dan juga mungkin haram.

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online. 

No comments: